Pembesaran LTAM, perkhidmatan tram di Melaka bakal dipercepatkan – Menteri

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

BUKIT BERUANG 3 Mei – Beberapa projek pembangunan infrastruktur pengangkutan di Melaka bakal dipercepatkan termasuklah pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Wee berkata, perkara itu antara yang dibincangkan ketika beliau menghadap Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam di Istana Melaka, semalam.

Jelasnya, pembesaran LTAM sangat penting dalam memacu sektor pelancongan kesihatan yang sedang pesat membangun di Melaka para ketika ini.

Selain itu, katanya, perbincangan itu juga turut membincangkan mengenai cadangan perkhidmatan tram di Bandaraya Melaka yang sedang dirancang Kerajaan Negeri Melaka.

“Tengahari tadi (semalam), menghadap Tuan Yang Terutama Tun Sri Setia (Dr) Haji Mohd Ali Bin Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka di Istana Melaka.

“Antara perkara yang dibincangkan termasuklah mengenai pembangunan pesat di dalam sektor pelancongan kesihatan (health tourism) Melaka yang mendorong projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam perlu dipercepatkan.

“(Selain itu) pembangunan pembesaran Pelabuhan Tanjung Bruas; cadangan perkhidmatan tram di Bandaraya Melaka yang sedang dirancang oleh Kerajaan Negeri; pembangunan Marina Melaka serta pembangunan maritim dan sektor pelabuhan di Melaka secara amnya (juga antara yang dibincangkan),” katanya dalam satu hantaran di Facebook rasminya.

Menurut Wee, dalam perjumpaan itu juga, Tun Mohd Ali turut menyarankan agar Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) bersama agensi penguatkuasaan lain untuk memantau aktiviti pengubahsuaian basikal lajak dan motosikal secara berleluasa di bengkel-bengkel.

Dengan cara itu, ia dapat mengawal dan membendung aktiviti lumba haram dan basikal lajak yang membahayakan pengguna jalan serta nyawa orang ramai khususnya generasi muda.

“TYT Tun yang pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan 24 tahun yang lalu, sentiasa komited tentang pencegahan dan pendidikan yang berkaitan dengan keselamatan jalan raya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1458
Kongsi :
Previous post Aidilfitri: Aliran trafik menghala Utara, Selatan perlahan malam ini
Next post Aidilfitri: Hairan motosikal tiba-tiba terbakar
Ubah saiz-+=