Pembinaan masjid RM30j di Pulau Besar dijangka tahun depan

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

BUKIT PALAH 19 Okt – Pembinaan sebuah masjid di Pulau Besar yang menelan kos pembinaan hampir RM30 juta dijangka bermula tahun depan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Sukri Che Mat berkata, kos pembinaan masjid berkenaan bukan sahaja melibatkan dana daripada kerajaan Persekutuan malah turut mendapat sumbangan daripada pelbagai agensi.

Berikutan itu, katanya JAIM menerusi agensinya, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) melancarkan Saham Wakaf Pembinaan Masjid Pulau Besar bagi merealisasikan pembinaan berkenaan.

“Setakat ini perkara itu masih dalam peringkat mesyuarat awal lagi. Insha-Allah pembinaannya mungkin awal tahun hadapan sebaik sahaja mendapat kelulusan peruntukan daripada kerajaan Persekutuan.

“Jumlah (kos) dicadangkan hampir RM30 juta termasuk pembangunan dan dataran serta kos keceriaan masjid berkenaan,.

“Setakat hari ini, jumlah sumbangan yang diterima menerusi saham wakaf berkenaan adalah hampir RM200,000, ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Anugerah Khas Maulidur Rasul sempena Sambutan Maulidur Rasuk di Masjid Al-Azim di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Che Sukri berkata pembinaan masjid berkenaan bukan sahaja menjadi bangunan yang mampu membangunkan syiar Islam malah menjadi tumpuan pelancong di dalam mahupun luar negara.

“Reka bentuk seperti cangkerang dijangka akan menjadi tarikan bukan setakat di Asia malah di dunia kerana Melaka di sini segalanya bermula.

“Masjid berkenaan juga dijangka mampu memuatkan kira-kira 1,500 jemaah,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1124
Kongsi :
Previous post DAP sokong lantik Adly calon KM jika menang PRN
Next post Gerakan akan pecat ahli cuba sabotaj calon PN
Ubah saiz-+=