Pemergian Siti Sarah kehilangan besar buat industri seni tanah air

Masa Membaca:1 Minit, 1 Saat

KUALA LUMPUR 9 Ogos- Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah mengucapkan takziah kepada keluarga penyanyi tanah air, Siti Sarah Raisuddin yang meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 pagi tadi.

Saifuddin mengakui terkejut atas berita pemergian penyanyi kesayangan ramai itu dan menyifatkan ia kehilangan besar kepada industri seni tanah air.

“Saya ingin meluahkan rasa terkejut dan sedih atas kembalinya ke Rahmatullah, Allahyarham Siti Sarah Raisuddin.

“Salam takziah diucapkan kepada saudara Shuib dan keluarga atas kehilangan seorang isteri tercinta dan pemergian itu merupakan kehilangan besar kepada industri seni tanah air,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memulakan sidang media Inisiatif Pemulihan Agensi Ekonomi Seni Budaya (CENDANA) di bawah Pakej Ransangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA) secara maya, petang tadi.

Pada jam 5.13 pagi tadi, Siti Sarah menghembuskan nafas terakhirnya di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Allahyarham Siti Sarah meninggalkan suami, Shuib Sepahtu atau nama sebenar, Shahmira Muhamad serta empat anak iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan yang dilahirkan, Jumaat lalu.

Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak, kira-kira jam 1.45 tengah hari tadi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

436
Kongsi :
Previous post Agong dan Permaisuri zahir takziah kepada keluarga Siti Sarah
Next post Tun Mohd Ali, isteri sertai majlis kesyukuran sempena sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Melaka
Ubah saiz-+=