Sorting by

×

Pemilik bas dipandu mengundur beri keterangan esok

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

AYER KEROH 9 Oktober – Pemandu bas persiaran yang didakwa memandu secara mengundur sejauh satu kilometer dalam kejadian di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Selasa lalu akan hadir memberi keterangan di Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka, esok.

Pengarah JPJ negeri Muhammad Firdaus Shariff berkata, selain pemandu bas berusia 52 tahun itu, turut akan hadir memberi keterangan adalah pemilik syarikat bas persiaran terbabit.

“Esok pemandu dan pemilik bas akan hadir bagi membolehkan keterangan diambil berhubung kejadian yang berlaku selepas
notis temu siasat mengikut Seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dikeluarkan kepada pemilik bas berkenaan.

“Selain keterangan turut akan dilakukan adalah siasatan oleh Unit Pengurusan Aduan dan Siasatan serta Unit Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) keatas kenderaan terbabit,” katanya.

Menurutnya, hasil semakan lanjut dibuat terhadap pemandu bas itu, pihaknya mendapati lelaki terbabit mempunyai sembilan saman lampau membabitkan pelbagai kesalahan tetapi kesemuanya sudah dijelaskan.

“Sekiranya kita dapati mereka gagal hadir pada esok atau kegagalan mematuhi notis temu siasat tindakan kompaun akan dikenakan kepada pemilik syarikat,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, JPJ Melaka sudah menyiasat klip video tular berkenaan sebuah bas persiaran dipandu secara mengundur di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) sejauh kira-kira satu kilometer.

Pada Rabu, tular insiden itu menerusi klip video berdurasi 43 saat dipercayai dirakam penumpang bas berkenaan dan ketika kejadian difahamkan terdapat kira-kira 26 penumpang lain yang dalam perjalanan dari Genting Highland ke Melaka malah tindakan itu juga mengakibatkan mereka yang berada di dalam bas cemas.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1166
Kongsi :
Previous post 500 pelajar menelusuri keindahan Bandar Melaka
Next post Bergelut cari kerja, harap rezeki di karnival kerjaya
Ubah saiz-+=