PEMROS sahut kempen ‘Talk to Us’
AYER KEROH, 9 Ogos – Persatuan Penduduk Melaka Perdana Resort Homes (PEMROS) menyahut kempen ‘Talk to Us’ anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai usaha mendekatkan balai polis dengan komuniti setempat.
Presiden PEMROS Eddie Lee berkata pihaknya amat menghargai segala usaha PDRM dalam usaha mencegah dan menangani gejala jenayah yang berlaku di dalam kawasan di bawah pentadbiran Balai Polis Ayer Keroh.
“Saya mewakili seluruh komuniti PEMROS ingin mengucapkan penghargaan terima kasih tidak terhingga buat Balai Polis Ayer Keroh kerana memainkan peranannnya dalam menangani serta mencegah gejala jenayah dengan cemerlang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Sesi Dialog PEMROS Bersama Balai Polis Ayer Keroh di rumah kelab Melaka Perdana Resort Homes (MPRH), hari ini.
Hadir sama Ketua Balai Polis Ayer Keroh Inspektor Mohd. Fuzi Rakam.
Timbalan Presiden PEMROS Datuk Mokhtar Haron turut memuji anggota Balai Polis Ayer Keroh kerana kerap melakukan rondaan, sekali gus mewujudkan persekitaran selamat buat warga penduduk setempat.
“Kami memuji Balai Polis Ayer Keroh yang sering mengadakan rondaan di taman-taman perumahan sekitar Ayer Keroh dan khususnya di Melaka Perdana Resort Homes.
“Rondaan sebegini mampu mencegah jenayah dan mewujudkan persekitaran selamat bagi para penduduk,” jelasnya.
Sementara itu, antara objektif lain bagi program tersebut adalah untuk mencegah jenayah setempat dan menyediakan para penduduk dengan pengetahuan sekiranya berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini.
Malah perjumpaan itu berlangsung dalam suasana norma baharu dengan penganjur menitikberatkan pematuhan SOP perhimpunan di tempat awam bagi mencegah penularan wabak COVID-19.