Penantian hampir sedekad Zoo Melaka berakhir, harimau kumbang bunting

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

MELAKA 24 Mac – Penantian hampir sedekad warga Zoo Melaka untuk mendapat ahli keluarga baharu dalam kumpulan harimau kumbang di bawah jagaan mereka kini menghampiri penghujungnya apabila seekor daripada haiwan itu bunting.

Ketua Unit Zoologi Zoo Melaka Azman Ghazali yang menyampaikan berita gembira itu ketika dihubungi Bernama, berkata Seri yang berusia dalam lingkungan lapan tahun, sedang bunting dalam anggaran tiga bulan.

“Kita jangka Seri akan melahirkan anak sekitar April ini. Jadi segala persiapan telah diatur termasuk doktor dan penjaga yang akan mengawasinya setiap masa.

“Kami juga telah pindahkan Seri ke ruang belakang agar gangguan dapat dikurangkan serta memberi keselesaan kepadanya,” katanya, menambah kali terakhir zoo itu menerima kelahiran harimau kumbang ialah sembilan tahun lepas.

Mengulas lanjut, beliau berkata suasana sepi dan tenang tanpa kunjungan pelawat berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini telah memberi ruang kepada Seri serta haiwan lain berinteraksi secara semula jadi termasuk mengawan.

Azman berkata perubahan ketara perlakuan haiwan dalam suasana tenang dan senyap itu dapat dilihat sejak hujung tahun lalu apabila empat daripada enam ekor harimau kumbang jantan di zoo tersebut aktif memikat harimau kumbang betina untuk mengawan.

Sejak itu katanya doktor veterinar dan penjaga haiwan tersebut membuat pemerhatian dan penantian mereka membuahkan hasil apabila Seri didapati bunting.

Menurutnya, Seri yang berpasangan dengan Kiki yang seusia dengannya, berada dalam keadaan sihat dan tenang tetapi lebih peka dengan keadaan sekeliling.

Selain Seri, Zoo Melaka juga menunggu kelahiran anak kepada Ros, seekor zirafah yang berumur 15 tahun serta seekor beruang matahari yang dijangkakan berlaku dalam masa terdekat.

“Kedua-duanya juga telah diasingkan dan semua petugas sentiasa peka dengan keadaan haiwan-haiwan yang bunting ini kerana kami bimbang sekiranya berlaku apa-apa komplikasi. Bagaimanapun setakat ini semuanya berada dalam keadaan baik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2115
Kongsi :
Previous post Lebih 481,000 individu terima vaksin COVID-19 setakat 23 Mac
Next post Sasar 70 peratus syarikat usahawan sertai platform ‘Easy Shop Melaka’
Ubah saiz-+=