Pencapaian SPM 2020 cipta sejarah tersendiri

Masa Membaca:2 Minit, 58 Saat

KUALA LUMPUR 10 Jun – Perjalanan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 mencatatkan rekod dan sejarah tersendiri apabila dilaksanakan dalam keadaan negara menghadapi penularan pandemik COVID-19 yang memaksa banyak pembaharuan dilaksanakan.

Pelajar dan semua yang terlibat terpaksa mengikuti norma baharu, bukan sahaja sewaktu peperiksaan tetapi juga sepanjang proses pembelajaran yang dilaksanakan menerusi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) pada sebahagian besar tempoh persediaan mereka.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin ketika pengumuman analisis keputusan SPM 2020 yang diadakan secara maya hari ini memberikan ‘tabik hormat’ kepada calon peperiksaan itu yang disifatkan sebagai generasi hebat.

Radzi berkata dalam mendepani tempoh mencabar itu, Kementerian Pendidikan (KPM) telah membuat persiapan termasuk menyediakan prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan keselamatan pelajar dan warga sekolah sepanjang tempoh peperiksaan.

“Belum pernah ada mana-mana kohort SPM yang melalui dugaan, cabaran dan rintangan sepertimana anak-anak calon SPM tahun 2020. Tabik hormat pak cik untuk anak-anak sekalian,” katanya.

Selain itu, beliau turut berterima kasih kepada semua calon SPM 2020, guru-guru dan ibu bapa yang berikhtiar serta memberikan yang terbaik dalam tempoh sukar itu.

Radzi juga menzahirkan ucapan penghargaan kepada seluruh jentera KPM, khususnya Lembaga Peperiksaan yang terlibat dalam mengendalikan peperiksaan itu.

Penularan wabak COVID-19 di negara ini bermula Januari 2020, menyebabkan peperiksaan SPM 2020 ditunda dari tarikh asal iaitu 5 Oktober hingga 19 November 2020.

Disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 18 Mac tahun lalu, peperiksaan ini telah ditunda sebanyak tiga kali.

Kali pertama ditunda ke 16 November hingga 7 Disember 2020, kemudian ditunda ke 6 Januari hingga 9 Februari 2021, sebelum dimuktamadkan pada 22 Februari hingga 25 Mac 2021.

Bagi calon yang disahkan positif COVID-19 atau dikuarantin, mereka dibenarkan menduduki peperiksaan pada sesi kedua yang bermula dari 6 hingga 23 April lalu.

Sementara itu, Pengarah Peperiksaan Lembaga Peperiksaan Datuk Pkharuddin Ghazali menyifatkan calon SPM 2020 cukup istimewa kerana berdepan satu tempoh yang panjang apabila tarikh peperiksaan ditunda sebanyak tiga kali, selain menghadapi peperiksaan dalam suasana norma baharu.

“SPM 2020 satu perjalanan sejarah mungkin buat sistem pentaksiran negara, kalau tidak menjadi satu sejarah negara setidak-tidaknya ada satu kelainan bagi anak-anak SPM 2020 menduduki peperiksaan.

“Sebenarnya satu perjalanan yang cukup mencabar buat calon SPM 2020 dan hari ini mereka merayakan cabaran itu dengan kejayaan,” katanya pada program Malaysia Petang Ini (MPI) siaran Bernama TV bertajuk ‘Prestasi Keputusan Peperiksaan SPM 2020’ hari ini.

Beliau berkata bukan sahaja pelajar berdepan dengan cabaran itu, para pendidik dan pihak kementerian juga menghadapi cabaran berganda yang luar daripada kebiasaan apabila perlu mencari pelbagai pendekatan baharu bagi memastikan pembelajaran tidak terjejas dan peperiksaan dapat berlangsung walaupun dalam suasana pandemik.

Pkharuddin berkata pembaharuan itu dapat dilihat apabila sesi pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan secara dalam talian, peperiksaan SPM 2020 dilakukan dengan SOP yang ketat, jumlah petugas dan pemeriksa kertas peperiksaan ditambah serta keputusan peperiksaan diberi menerusi dalam talian.

“Semuanya ini disepadukan dengan menyediakan satu platform peperiksaan yang paling kondusif dalam keadaan pandemik COVID-19, mereka sihat, selamat dan sejahtera. Hari ini terbukti kepada dunia mereka berjaya.

“Bagi anak-anak bakal calon SPM 2021, tengoklah apa kejayaan (yang diraih hari ini). Di depan mata kita boleh tengok bagaimana mereka berdoa, bersyukur selepas menamatkan peperiksaan.

“Anda juga mampu laksanakannya. Jangan risau, anda di rumah belajar, ikut arahan, buat apa yang wajib dan insya-Allah anda juga akan raikan kejayaan ini pada tahun depan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata tarikh tutup pendaftaran secara dalam talian untuk menduduki peperiksaan SPM Ulangan 2020 yang pada asalnya ditetapkan pada 18 Jun ini, dilanjutkan hingga 25 Jun.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

404
Kongsi :
Previous post Pelajar kematian ibu akibat covid-19 dapat 9A
Next post Azizulhasni terima suntikan kedua vaksin COVID-19 pada 19 Jun
Ubah saiz-+=