Pelajar kematian ibu akibat covid-19 dapat 9A

Masa Membaca:2 Minit, 20 Saat

SEKITAR KEPUTUSAN SPM 2020

MELAKA 10 Jun – Tidak seperti pelajar lain melonjak kegirangan ketika menerima keputusan cemerlang 9A Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 hari ini, Afiya Adzahar diselubungi kesedihan kerana tidak dapat meraikannya bersama ibunya yang meninggal dunia akibat COVID-19, kira-kira dua minggu lalu.

Pelajar Sekolah Menengah Sains Tuanku Aishah Rohani, Seremban Negeri Sembilan itu terkilan kerana ibunya, Rosliwati Rosdi disifatkan banyak berkorban selama ini untuk kejayaannya.

Adzahar mencium anaknya, Afiya yang berjaya memperolehi keputusan cemerlang 9A pada peperiksaan SPM 2020 yang diumumkan hari ini.

“Mama sepatutnya paling gembira dan layak meraikan kejayaan Afiya hari ini kerana mama paling banyak berkorban serta menjadi penguat semangat saya ketika tertekan menduduki peperiksaan sebelum ini.

“Tetapi mama meninggal dunia lebih awal dan tidak sempat menatap keputusan peperiksaan SPM ini bersama-sama saya dan ayah, namun saya yakin, mama pasti gembira dan bangga dengan kejayaan ini,” katanya.

Dia ditemui bersama bapanya, Adzahar Abu Bakar yang menghidap barah pangkal hidung sejak lebih 10 tahun lalu di rumah mereka di Kampung Paya Dalam.

Anak bongsu dari enam beradik itu berkata, pada awalnya dia tidak yakin akan mampu meraih keputusan cemerlang itu memandangkan dia agak tertekan ketika membuat persediaan peperiksaan SPM malah hanya mampu memperolehi B untuk subjek Matematik Tambahan pada peperiksaan percubaan SPM.

Adzahar melihat keputusan cemerlang 9A yang diperolehi Afiya.

“Walaupun tinggal di asrama dan jauh dari rumah, ibu pasti datang melawat Afiya pada setiap minggu tanpa gagal, namun sejak diadakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama enam bulan, kami tidak boleh berjumpa, ketika itu Afiya merasa amat tertekan.

“Tetapi ibu sentiasa memberi semangat dan kalau saya kata ‘tidak boleh’ ibu pasti berkata ‘boleh’, hinggakan ketika mahu mendapatkan keputusan SPM, masih terngiang-ngiang suara ibu mengatakan saya boleh.

“Ketika itu saya amat mengharapkan ibu ada di sebelah saya bersama ayah,” katanya dengan nada sebak.

Air mata gadis itu juga tidak dapat dibendung kerana dia amat berharap dapat berkongsi kegembiraan dan bersama-sama meraikan kejayaan memperolehi keputusan cemerlang SPM hari ini.

“Walaupun ibu sibuk mengurus ayah dan berulang-alik ke hospital kerana ibu juga tidak sihat kerana menghidap barah kepala, namun ibu tidak pernah hilang tumpuan pada pelajaran Afiya,” katanya.

Katanya, dia merancang untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di universiti tempatan sebagai memenuhi impian ibunya yang mahu dia menjadi seorang doktor kelak.

Sementara itu, Adzahar, 52, berkata, kematian isterinya memberi kesan kepada Afiya memandangkan keduanya amat rapat malah Afiya juga tidak yakin dengan kemampuannya mendapat keputusan cemerlang.

“Malah sebelum keputusan SPM diumumkan hari ini, Afiya kelihatan muram dan tidak banyak bercakap dan sebagai ayah, saya perlu memainkan peranan seperti yang dilakukan oleh isteri sebelum ini iaitu sentiasa memberi semangat kepada Afiya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1029
Kongsi :
Previous post Pakai pakaian sesuai, bantu lancarkan pemberian vaksin
Next post Pencapaian SPM 2020 cipta sejarah tersendiri
Ubah saiz-+=