Azizulhasni terima suntikan kedua vaksin COVID-19 pada 19 Jun

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

KUALA LUMPUR 10 Jun – Jaguh berbasikal trek negara Mohd Azizulhasni Awang, dijangka melengkapkan suntikan kedua vaksin COVID-19 pada 19 Jun ini.

Azizulhasni yang berpangkalan di Melbourne, Australia, sebelum ini telah menerima suntikan dos pertama di sana, pada 26 Mei lalu.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia Datuk Abu Samah Abd Wahab berkata, selain Azizulhasni, seorang lagi pelumba kebangsaan Muhammad Shah Firdaus Sahrom juga akan menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 pada tarikh sama.

Beliau berkata, mereka yang baharu sahaja tiba di Malaysia dari Melbourne, Australia Ahad lalu, ketika ini sedang menjalani kuarantin di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Malaysia di Kampung Pandan, di sini sehingga 19 Jun depan.

“(Mereka) bertolak ke Nilai pada hari sama (19 Jun) untuk menjalani persiapan akhir di Velodrom Nasional Malaysia menjelang Sukan Olimpik Tokyo, Jepun. Mereka berdua dijadual berlepas ke Tokyo, Jepun pada 25 Julai ini,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Sementara itu, Azizulhasni dalam satu hantaran di laman Instagram hari ini, berasa amat teruja untuk menjalani sesi latihan di tanah air, selepas selesai menjalani tempoh kuarantin.

Beliau pada masa sama turut berterima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, di atas kesudian melawatnya di pusat berkenaan Isnin lalu.

“Terima kasih kepada menteri serta pasukan Kementerian Belia dan Sukan dan tidak lupa juga pihak Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara serta semua yang terlibat, di dalam memastikan keselamatan dan kesihatan kami terjaga dengan rapi,” katanya.

Azizulhasni yang diberi jolokan ‘The Pocket Rocketman’, dijadual beraksi dalam acara kegemarannya keirin dan pecut individu, manakala Muhammad Shah Firdaus bagi acara pecut di Tokyo nanti.

Sukan Olimpik Tokyo akan berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos depan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

423
Kongsi :
Previous post Pencapaian SPM 2020 cipta sejarah tersendiri
Next post Nahas tren LRT: J/K siasatan saran 23 cadangan penambahbaikan
Ubah saiz-+=