Pendaftaran PICK di Melaka masih rendah

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

AYER KEROH 2 April – Pendaftaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di negeri ini masih kurang memuaskan apabila merekodkan sekitar 35 peratus atau 248,049 orang sahaja setakat semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, ia trend membimbangkan memandangkan Fasa 2 pemberian vaksin yang mengutamakan warga emas, orang kurang upaya dan golongan berpenyakit kronik akan bermula tidak lama lagi iaitu pada 19 April ini.

Justeru, beliau menyeru orang ramai untuk terus mendaftar penerima vaksin dengan segera bagi memudahkan pihak jawatankuasa menyusun atur pemberian vaksin Fasa 2 itu nanti.

“Saya berharap tiada yang menunggu hingga saat akhir untuk mendaftar kerana ia penting untuk membantu petugas kesihatan menyusun janji temu untuk pemberian vaksin tersebut.

“Untuk Fasa 2 dan 3 nanti keutamaan adalah kepada mereka yang mendaftar awal. Jadi, saya menyeru semua dapat mendaftar dengan segera dan mengingatkan ahli keluarga masing-masing untuk mendaftar,” katanya ditemui selepas merasmikan Hari Tibi Sedunia 2021 peringkat Negeri Melaka di Auditorium MITC, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Rahmad meminta orang ramai lebih peka terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 di negeri ini memandangkan situasi semasa masih di tahap membimbangkan.

Katanya, Kluster Teknologi Lot Enam di Batu Berendam menunjukkan peningkatan ketara apabila melangkaui 300 kes tempatan dan kini sedang merebak kepada generasi ketiga dan keempat di dalam komuniti.

“Ini yang kita bimbangkan dahulu dan ia telahpun berlaku. Jangkitan itu bukan sahaja terjadi kepada pekerja kilang tetapi juga kepada keluarga dan kini merebak kepada komuniti hingga memasuki generasi ketiga dan keempat.

“Isunya adalah aspek pematuhan SOP. Saya yakin jika kita terus patuh SOP, kita tidak akan terkena jangkitan dan dapat mengawal jangkitan daripada terus merebak,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

330
Kongsi :
Previous post Melaka catat kematian akibat Tibi lebih tinggi berbanding COVID-19
Next post KKM teliti data teknikal, klinikal sebelum benar individu lengkap terima vaksin rentas negeri
Ubah saiz-+=