Pendengaran dalam talian kekal sebahagian sistem kehakiman – Ketua Hakim Negara

Masa Membaca:2 Minit, 46 Saat

PUTRAJAYA, 14 Jan – Pendengaran atau perbicaraan dalam talian bukan hanya satu cara untuk menangani pandemik COVID-19 tetapi adalah ciri kekal dalam sistem kehakiman negara, menurut Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Beliau berkata mahkamah maya kini sudah menjadi aspek yang kekal dalam sistem advokasi negara dan tiada persoalan untuk kembali kepada kaedah lama dalam mengendalikan perbicaraan secara fizikal.

“Saya katakan ‘kekal’ kerana ada yang mempersoalkan bila dan sama ada badan kehakiman akan kembali kepada perbicaraan fizikal seperti biasa. Saya ingin menjelaskan bahawa badan kehakiman sentiasa memulakan kemajuan teknologi dan pendengaran secara dalam talian atau secara maya ini, menandakan kemajuan kami ke arah ini,” katanya dalam ucapan pembukaan Tahun Undang-undang 2022 di sini hari ini.

Tengku Maimun berkata apabila pandemik itu mula menular pada Mac 2020, mahkamah terpaksa meneruskan kes dalam talian bagi mendapatkan persetujuan kedua-dua pihak, tertakluk kepada kepentingan keadilan.

Beliau berkata ini kerana tiada undang-undang permisif yang jelas menetapkan pendengaran atau perbicaraan dalam talian dibenarkan atas arahan mahkamah.

“Sekarang, Parlimen telah campur tangan secara afirmatif untuk membenarkan perbicaraan dalam talian tanpa mengira persetujuan tetapi masih tertakluk kepada kepentingan keadilan. Tiada ruang untuk pertikaian mengenai kewajaran kaedah ini memandangkan peralihan ini bukan khusus untuk Malaysia,” katanya.

Tengku Maimun berkata perubahan penting dalam undang-undang untuk membenarkan pelaksanaan ini dibuat dengan memasukkan Seksyen 15A Akta Mahkamah Kehakiman (CJA) 1964 yang menyatakan bahawa mahkamah boleh menjalankan prosiding sivil atau jenayah melalui teknologi komunikasi jarak jauh.

Beliau berkata hakim telah menyesuaikan konsep ini dengan baik untuk pendengaran jarak jauh dalam konteks kes sivil, permohonan jenayah dan rayuan jenayah.

“Teknologi perkongsian skrin, kami dapati membantu kami dengan rujukan dokumen, tahap dan sifat advokasi telah bertambah baik tanpa mengira sama ada peguam di hadapan kami adalah senior atau junior. Kami juga berpendapat pendengaran jarak jauh ini telah banyak memudahkan peguam daripada menghabiskan masa untuk perjalanan.

“Dari segi akses kepada keadilan, penggantungan kepada perbicaraan secara jarak jauh memberi banyak kelebihan. Orang awam dan pengamal perundangan dapat mengurangkan gementar dengan persekitaran sergam mahkamah dan saya fikir mahkamah sudah mudah diakses dengan klik bebutang, telah merubah kami daripada ritualisme dan kebiasaan, memberi tumpuan lebih kepada aspek-aspek substantif keadilan kes itu sendiri,” katanya.

Ketua Hakim Negara bagaimanapun mengakui bahawa perbicaraan jarak jauh juga mempunyai kelemahan kerana kadang-kadang wujud masalah bunyi, sambungan Internet dan pendengaran kadangkala tidak dapat dijalankan apabila pihak-pihak tidak mempunyai cara atau akses yang diperlukan.

Beliau berkata walau apa pun, kebolehcapaian keseluruhan pendengaran prosiding jarak jauh mengatasi kelemahan yang ada dan ia boleh diatasi.

Tengku Maimun berkata walaupun pandemik itu sebahagian besarnya telah memberikan impak, pembaharuan yang diperkenalkan badan kehakiman itu sejak 2009 telah memainkan peranan penting dalam mempercepatkan kemajuan teknologi moden dan inovasi pada tahap yang tidak pernah berlaku sebelum ini yang membolehkan badan itu menghadapi pandemik tersebut.

Beliau berkata badan kehakiman telah melabur jumlah yang besar dalam teknologi dari segi perkakasan dan perisian dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana memperuntukkan dana yang diperlukan oleh badan kehakiman untuk meneruskan dan memajukan inisiatif kehakimannya.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada badan perundangan kerana meluluskan undang-undang yang menjadikannya lebih mungkin untuk menjalankan pendengaran secara dalam talian. Adalah menjadi harapan badan kehakiman agar semua pihak dapat terus menyokong kami untuk manfaat akses kepada keadilan dan orang ramai,” tambah beliau. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

719
Kongsi :
Previous post Dua bangkai penyu ditemukan di pantai Terengganu
Next post Gadis tawar baiki telefon bimbit mangsa banjir percuma
Ubah saiz-+=