Penduduk Kampung Peringgit tanggung derita banjir kilat

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

PENGKALAN BATU 5 April – Banjir kilat yang dipercayai berpunca daripada sistem saliran tidak sempurna di tepi Lebuh Alor Gajah–Melaka Tengah–Jasin (AMJ), di sini semakin membebankan penduduk Kampung Peringgit.

Lebih 10 tahun beberapa penduduk kampung berkenaan terpaksa menanggung penderitaan akibat banjir kilat yang melanda setiap kali hujan lebat.

Ridzuan Mohd Salleh, 35, berkata beliau dan penduduk lain terpaksa menanggung kerugian akibat perabot yang sering rosak akibat dinaiki air setinggi kira-kira 0.30 meter (kira-kira satu kaki).

Katanya, hujan lebat antara satu hingga dua jam sudah cukup untuk membuatkan aliran air dalam parit di tepi AMJ berhampiran kediamannya tersumbat.

“Aliran air yang tidak sempurna dalam parit itu menyebabkan air melimpah ke tepi jalan dan memenuhi halaman rumah kami dan lama-kelamaan masuk ke dalam rumah.

“Saya pernah mengeluarkan kos untuk menambak tanah di kawasan berhampiran rumah tetapi ia tidak mampu menahan air daripada memasuki kediaman kami,” katanya ketika ditemui di kampung itu semalam.

Hujan lebat mulai jam 9 pagi semalam menyebabkan banjir kilat sekali lagi melanda kediaman Ridzuan dan beberapa kediaman jirannya mulai jam 10.30 pagi.

Ia menyebabkan Ridzuan dan anggota keluarganya terpaksa membersihkan lantai dan perabot selepas air mulai surut kira-kira dua jam selepas itu.

Beliau mendakwa, sudah membuat aduan kepada Jabatan Kerja Raya dan Majlis Perbandaran Melaka Bersejarah (MBMB) tetapi belum ada tindakan diambil.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu Datuk Norhizam Hassan Baktee yang meninjau keadaan berkenaan berkata, beliau sudah meminta JKR Melaka Tengah mengambil tindakan segera menyelenggara parit di tepi AMJ.

Katanya, aliran air parit tidak sempurna berpunca daripada pelbagai bahan buangan seperti sampah-sarap dan akar pokok yang memenuhinya.

“Keadaan ini tidak boleh dibiarkan kerana penduduk terpaksa menanggung kerugian apabila perabot rosak akibat dinaiki air,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1202
Kongsi :
Previous post Pertandingan komuniti zon hijau COVID-19, KPLB tawar hadiah geran pembangunan RM50,000
Next post Murid dan guru di dua SK di Masjid Tanah positif COVID-19
Ubah saiz-+=