Pertandingan komuniti zon hijau COVID-19, KPLB tawar hadiah geran pembangunan RM50,000

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

KUALA LUMPUR 5 Mac. – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menganjurkan Pertandingan Komuniti Zon Hijau COVID-19 (kategori luar bandar) sebagai antara usaha memperkasakan komuniti untuk bersama memerangi COVID-19.

Menterinya Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, pertandingan dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Pejabat Ketua Setiausaha Negara (KSN) itu menawarkan hadiah sehingga RM50,000 dalam bentuk geran pembangunan kepada setiap pemenang.

“KPLB dipertanggungjawabkan melaksanakan pertandingan bagi kategori luar bandar.

“Pertandingan terbuka kepada dua kategori iaitu kategori Kampung Tradisional dan Rumah Panjang di bawah pentadbiran Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan kategori Kampung Orang Asli di bawah pentadbiran Jabatan Pembangunan Kemajuan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA),” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat penyelarasan antara Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Exco Luar Bandar (MEXCLUB) 1/2021 di sini hari ini.

Beliau berkata pertandingan itu berlangsung selama enam bulan bermula bulan ini.

Sesi penilaian akan dilaksanakan secara bersemuka dan setiap kampung perlu memberikan taklimat berkaitan program dilaksanakan, dokumentasi dan tayangan video berkaitan inisiatif kampung untuk dinilai.

Abd Latiff berkata terdapat empat aspek yang dinilai bagi pertandingan ini iaitu langkah proaktif kampung dalam mengekang penularan COVID-19 dan pembudayaan norma baharu dan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP).

Turut dinilai ialah kerjasama dengan pelbagai agensi dan peranan tadbir urus institusi pentadbiran peringkat kampung.

Sementara itu, Abd Latiff berkata KPLB kini fokus untuk menyelesaikan masalah berkaitan projek dan program pembangunan luar bandar di seluruh negara dengan kerjasama kerajaan negeri termasuk perancangan pelaksanaan projek baharu kementerian agar pembangunannya berada di landasan yang betul menjelang 2030.

Mengenai MEXCLUB, Abd Latiff berkata platform itu bagi meningkatkan persefahaman dan kerjasama antara kerajaan persekutuan dan negeri dalam menyelesaikan apa jua isu pelaksanaan projek KPLB di seluruh negara dan telah diadakan sebanyak 52 kali.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

385
Kongsi :
Previous post ‘Sampah jadi duit’
Next post Penduduk Kampung Peringgit tanggung derita banjir kilat
Ubah saiz-+=