Penduduk mahu daerah kecil Sungai Rambai dihidupkan kembali

Masa Membaca:3 Minit, 50 Saat

JASIN 15 Nov – Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai yang berada dalam daerah Jasin merupakan pintu masuk di gerbang Selatan Melaka bersempadan dengan Johor telah diisytiharkan sebagai daerah kecil pertama di Melaka, berkuat kuasa 1 Mac 2017.

Sungai Rambai, yang mempunyai lebih 22,000 penduduk menerima pengisytiharkan itu menerusi surat rasmi daripada Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan ketika itu selain pernah menempatkan kira-kira 30 agensi, pejabat kerajaan termasuk kaunter pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Pejabat Daerah dan Tanah Jasin.

Namun, selepas Pejabat Daerah Kecil Sungai Rambai ditutup pada Ogos 2018 dan pembangunan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Lebuhraya Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), kawasan itu bertukar menjadi suram dan kurang dikunjungi kerana tiada lagi pejabat dan agensi kerajaan beroperasi.

Bagi seorang penduduk Selamat Khamis,70, dari Parit Sidang Seman mereka amat berharap kemudahan di kawasan tersebut dapat dihidupkan semula kerana ia memberi kemudahan kepada penduduk sekitar menggunakan perkhidmatan agensi kerajaan tanpa perlu pergi ke Pekan Jasin atau bandar Melaka untuk berurusan.

“Dahulu saya mahu bayar cukai tanah sangat mudah hanya perlu datang ke sini, lagi pun tidak jauh dari rumah, namun sekarang jika mahu berurusan saya terpaksalah menaiki motor ke Bandar Jasin sejauh 30 minit.

“Kita berharap perkhidmatan agensi kerajaan yang penting untuk urusan penduduk dapat diadakan semula di sini ia kerana banyak memudah dan menyenangkan penduduk selain turut dikunjungi mereka yang datang dari Merlimau, Kesang atau Muar untuk berurusan,” katanya kepada Bernama di sini.

Tinjauan di situ juga mendapati hanya Klinik Komuniti dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) beroperasi selain Mahkamah Syariah yang terletak bersebelahan Masjid Al-Hasanah bagi kemudahan pendaftaran dan pendengaran kes-kes berkaitan untuk penduduk setempat malah masyarakat sekitar di Merlimau, Serkam dan Umbai

Antara kawasan yang terdapat di DUN Sungai Rambai ialah Kampung Lancang, Seri Mendapat, Batu Gajah Pasir, Sebatu dan Parit Putat, Parit Perawas dan Parit Penghulu Benteng.

Bagi peniaga, Mohd Shaiful Yusof, 42, berasal dari Kampung Parit Penghulu, kemudahan di situ yang lengkap dengan fasiliti perlu dibangunkan semula dan diberi nafas baharu untuk kemudahan penduduk Sungai Rambai yang juga menjalankan kegiatan ekonomi seperti bertani, menternak, nelayan dan peniaga kecil supaya mudah berurusan dengan agensi berkaitan.

“Kalau dahulu semua ada, jika kami nak hidupkan lesen memandu ada kiosk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), ada Jabatan Perikanan, Jabatan Pertanian, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN) dan pelbagai lagi.

“Kawasan di sini sangat meriah dan rancak dengan orang ramai seperti saya yang berniaga air di sini dahulu boleh meraih RM500 sehari tetapi sejak tiga tahun ini memang pendapat terjejas hanya mampu dapat RM20 sehari,” katanya.

Mohd Shaiful berkata kini hanya dua kedai di medan selera R&R Sungai Rambai Arah Selatan itu beroperasi manakala peniaga makanan lain di situ terpaksa menutup operasi mereka disebabkan ketiadaan pelanggan dan tidak dapat menampung kos operasi.

Katanya kawasan di situ yang luas dengan tempat letak kereta selain berdekatan masjid dan kawasan pelancongan dilihat mampu menjadi tumpuan ramai sekiranya dibangunkan semula.

“Apa kita harapkan siapa pun yang diberi mandat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti dapat meneruskan apa yang telah diusahakan dahulu demi kepentingan rakyat,” katanya.

Di Sungai Rambai juga terdapat kawasan tumpuan pelancongan, riadah dan rekreasi seperti Laman Belia, Laman P Ramlee, Kota Budaya Sungai Rambai, Kota Al-Hasanah dan sebagainya.

Sementara itu peniaga Shamsiah Abd Rahman, 53, dari Parit Perawas berkata dahulunya di pusat daerah kecil itu juga terdapat Terminal Bas yang menjadi persinggahan laluan dari Melaka dan Muar.

Katanya selepas penutupan agensi kerajaan di situ, peniaga di kawasan R&R Arah Utara mengharapkan semata-mata kedatangan pelancong dari luar yang singgah di situ.

“Sebelum ini kami diberitahu kawasan ini akan dijadikan tempat agensi kerajaan membuka kaunter semula untuk pelanggan namun mungkin tertangguh disebabkan PRN.

“Tidak kira sesiapa pemimpin yang dipilih, kami berharap beliau dapat turun padang menyelami masalah rakyat dan melihat sendiri kawasan ini seterusnya meneruskan idea pembangunan di sini,” katanya.

Pada PRN Melaka bagi N28 Sungai Rambai dengan 11,837 pengundi berdaftar bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru di antara Muhammad Jefri Safry Perikatan Nasional (PN), Farzana Hayani Mohd Nasir Pakatan Harapan (PH), Nazatul Asyraf Md Dom (Putra) dan Siti Faizah Abdul Azis Barisan Nasional (BN).

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), DUN Sungai Rambai dimenangi Datuk Hasan Abd Rahman daripada BN dengan majoriti 1,669.

SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal pada 16 Nov, berikutan pembubaran DUN pada 4 Okt lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2373
Kongsi :
Previous post BN tak pernah pinggirkan kaum minoriti
Next post PRN Melaka: 11,557 polis, tentera bakal mengundi awal esok
Ubah saiz-+=