BN tak pernah pinggirkan kaum minoriti

MASJID TANAH 14 Nov. – Barisan Nasional (BN) akan memastikan kebajikan kaum minoriti India dipelihara dan terus mendapat hak mereka sebagai rakyat di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, BN akan menyelesaikan segala permasalahan masyarakat India sekiranya diberi mandat dan menang majoriti dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.

Menurutnya, isu kawasan pembuangan abu atau dikenali upacara Karumathi antara pekara yang menjadi modal politik pihak pembangkang sekali gus menimbulkan kekeliruan kaum India di negeri ini.

Beliau menjelaskan sebelum ini ketika era pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH), Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ketika itu telah meluluskan permohonan masyarakat India iaitu penyediaan Tapak Bagi Pembuangan Abu Mayat Komuniti India di
negeri ini iaitu di lot tanah terletak di pesisir Pantai Telok Gong berhampiran dengan jirat cina dan berhampiran dengan Pulau Konet.

“Pada awalnya, pihak Unit Kerajaan Tempatan (UKT) selaku telah memohon ulasan teknikal daripada jabatan dan agensi yang berkaitan dan keputusan daripada maklum balas tersebut telah dikaji semula berikutan bantahan masyarakat setempat dan
rungutan masyarakat India dari Jasin memandangkan
lokasi yang dipilih jauh.

“Saya difahamkan, pihak berkenaan memainkan isu tersebut berdasarkan keputusan MMKN ketika zaman pemerintahan Kerajaan PH pada 25 Sept 2019.

“Perkara itu disahkan pada 2 Okt 2019 dan kini ia dijadikan modal politik parti pembangkang dengan dakwaan tidak benar yang tular dalam platform media sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Masjid Tanah, di sini hari ini.

Rentetan daripada itu, beliau menjelaskan Mesyuarat Penyelarasan Ritual Penyucian Roh Mendiang bagi Komuniti India telah diadakan pada 19 Okt 2020 memutuskan dua tapak cadangan lokasi ritual baharu iaitu di kawasan Kampung Portugis, Ujong Pasir atau di Kampung Hailam, dan Tanjung Kling.

Katanya, ia bagaimanapun tidak dipersetujui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang ketika itu.

“Kerajaan Negeri mengambil maklum bahawa ADUN Sungai Udang tidak bersetuju dengan cadangan tapak di Tanjung Kling kerana di kawasan DUN ini hanya ada satu peratus sahaja masyarakat India berbanding masyarakat Melayu sebanyak 90 peratus.

“Kemudiannya kita bersetuju agar melihat contoh yang telah dilaksanakan di Singapura yang mana pembuangan abu mayat ini dilaksana di tengah laut bukan di kawasan pantai, namun cadangan ini awalnya ditangguhkan dan mengambil kira lokasi sungai-sungai lain pula.

“MMKN pada 25 November 2020 seterusnya mengambil maklum dan bersetuju agar tiada sungai di negeri ini yang bersesuaian untuk dijadikan tempat bagi upacara Karumathi dan pelepasan abu mayat hendaklah dilaksanakan di tengah-tengah laut tanpa mana-mana tempat spesifik dan tanpa apa-apa ritual di kawasan pantai,” katanya.

Sulaiman berkata, bagi memperhalusi permasalahan itu sebuah kawasan seluas 10,000 kaki persegi dicadangkan di Klebang berikutan ia bersesuaian dan terletak di tepi sungai, tiada pemilik serta jauh dari kawasan perumahan berhampiran.

“Lawatan tapak ke kawasan yang berpotensi sebagai tapak pembuangan abu mayat komuniti India telah diadakan pada 25 Januari 2021 dan mencadangkan tiga lokasi di Kampung, Tanjung Keling, bersebelahan The Melaka Club, Lot 12052, Bandar 44, Klebang, Melaka Tengah serta di Tali Air, Lorong 25, Jalan Low Hee Kong, Taman Hilir.

“Kerajaan negeri telah menerima cadangan baharu dan lawatan tapak kali kedua telah diadakan pada 28 September 2021 mencadangkan lokasi di IKS Taman Malim Jaya dan di Taman Merdeka

“BN telah mengenalpasti tapak baharu dan akan dilaksanakan selepas PRN nanti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

299
Previous post Selesaikan isu banjir dan rumah kepada warga Bemban- Ng Choon Koon
Next post Penduduk mahu daerah kecil Sungai Rambai dihidupkan kembali