Pengadil wanita bakal adili Piala Datin Seri Utama Munira edisi akan datang
PAYA RUMPUT 2 April – Melaka akan meneruskan kejohanan liga Piala Datin Seri Munira dengan kelengkapan pengadil wanita pada edisi akan datang.
Datin Seri Utama Munira M Yusop berkata perkara itu masih diperingkat perbincangan dan hanya akan dilaksanakan selepas dibuat pertimbangan oleh jawatankuasa bola sepak wanita Melaka.
“Insya-Allah, kita akan buat pertimbangan untuk meneruskan kejohanan ini di masa akan datang serta sekiranya ada edisi akan datang kita akan lengkapkan dengan pengadil wanita.
“Namun hal itu akan dipertimbangkan,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI).
Mengulas lanjut, Munira yang juga isteri kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, berkata beliau berterima kasih kepada Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) yang tampil mencadangkan kejohanan berkenaan.
Katanya, kejohanan itu menjadi pentas buat pemain wanita mengetengahkan bakat mereka selain memberi ruang untuk beraksi di peringkat lebih tinggi pada masa depan.
“Terima kasih MUSA kerana merealisasikan kewujudan piala ini bagi mengisi kekosongan yang selama ini kita tahu sukan bola sepak hanya membabitkan golongan lelaki.
“Dan hari ini saya gembira kerana menerusi kejohanan ini kita dapat lihat kemampuan dan bakat pemain-pemain wanita yang dilihat dalam golongan remaja,” katanya.
Terdahulu, pasukan Sekolah Sukan Negeri Melaka (SSNM) muncul juara dalam kejohanan Piala Datin Seri Utama Munira 2022 menewaskan pasukan No-T Girls 4-2.
SSNM membawa pulang piala pusingan, medal serta wang tunai RM3,000, manakala pasukan No-T Girls bawa pulang medal dan wang tunai RM2,000.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.