Sorting by

×

Pengagihan daging korban secara pandu lalu

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

TANJUNG BIDARA 1 Ogos – Pengurusan Masjid al-Ehsan, Kampung Londang, Masjid Tanah di sini tidak membenarkan anak kariah menghampiri tempat melapah daging di perkarangan masjid untuk mengambil daging, sebaliknya ia diagihkan melalui kaedah pandu lalu.

Ia bertujuan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Jabatan Mufti Melaka dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengelakkan ancaman pandemik COVID-19 yang masih belum berakhir sepenuhnya setakat ini.

Pengagihan daging korban secara pandu lalu itu diperkenalkan Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid berkenaan sebagai sebahagian daripada kaedah pematuhan SOP ditetapkan kedua-dua pihak terbabit.
Pengerusinya, Datuk Abdul Mutalif Che Mat berkata, kaedah berkenaan diputuskan AJK masjid dalam mesyuarat minggu lalu berikutan arahan Jabatan Mufti Melaka yang melarang pengagihan daging korban secara konvensional di perkarangan masjid.

“Jabatan Mufti negeri mengarahkan daging korban dihantar ke rumah penerima tetapi kami sudah merujuk kepada Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan memaklumkan kami menghadapi masalah kekurangan kakitangan untuk menghantar daging ke rumah anak kariah yang berjumlah lebih 500.

“Oleh itu kami menganjurkan kaedah pengagihan daging korban secara pandu lalu yang tetap tidak membenarkan anak kariah berkumpul di perkarangan masjid, sebaliknya hanya membawa kenderaan masing-masing di hadapan masjid untuk mengambilnya,” katanya ketika ditemui di masjid berkenaan hari ini.

Beliau berkata, setiap anak kariah diberikan kupon beberapa hari lalu sebagai ‘tiket’ untuk mengambil daging berkenaan secara pandu lalu dan tiada sesiapa pun yang akan dilayan jika hadir di tempat AJK masjid melapah daging di perkarangan masjid.

Katanya, pematuhan terhadap SOP berkenaan amat penting, sejajar tuntutan agama yang meletakkan aspek keselamatan dan kesejahteraan kesihatan mendahului kepentingan yang lain apabila berlaku penularan wabak penyakit tertentu.

Sebanyak 26 lembu dan empat kambing dikorbankan tahun ini dengan 13 daripada lembu berkenaan adalah yang dikongsi tujuh individu manakala baki 13 lembu lagi secara individu.

Program korban tidak dijalankan pada Aidiladha atau 10 Zulhijjah 1441 Hijrie semalam kerana waktu yang terhad antara selepas solat sunat Aidiladha dengan solat Jumaat berbanding kelapangan waktu hari ini

Bagaimanapun, tiada penyembelihan haiwan korban akan dilaksanakan pada dua hari Tasyrik terakhir, masing-masing pada esok (12 Zulhijjah) dan lusa (13 Zulhijjah), katanya.

Sebaliknya, semua haiwan berkenaan dikorbankan hari ini bertujuan membolehkan daging diagihkan dengan segera.

Views:

297
Kongsi :
Previous post Permintaan terhadap lemang meningkat
Next post Usia baru 18 bulan tetapi sudah berkorban
Ubah saiz-+=