Sorting by

×

Usia baru 18 bulan tetapi sudah berkorban

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

TANJUNG BIDARA 1 Ogos – Usianya baru 18 bulan tetapi dia sudah melakukan ibadah korban demi agama.

Pada usia setahun enam bulan, Nur Qaysara Mohd Firdaus muncul sebagai peserta program korban paling muda dalam kalangan 109 peserta yang lain apabila mengorbankan seekor kambing jantan hari ini.

Korban berkenaan dilaksanakan atas nama bayi terbabit oleh datuknya, Azman Minhat, 57, sebagai tanda kesyukuran dengan kelahiran cucu pertamanya, selain untuk mengimarahkan program korban kali ini.

Nur Qaysara adalah seorang daripada 109 peserta program korban anjuran Masjid al-Ehsan, Kampung Londang, Masjid Tanah dekat sini yang berlangsung hari ini.

Selain kambing yang dikorbankan Nur Qaysara, ada tiga lagi kambing dan 26 lembu yang turut dikorbankan melalui program berkenaan dengan 13 daripada lembu terbabit adalah melalui korban individu manakala baki 13 lagi korban secara berkelompok.

Azman berkata, beliau melakukan ibadah berkenaan atas nama cucu pertamanya kerana amat gembira dengan kehadiran Nur Qaysara dalam menyerikan kehidupan keluarganya.

“Alhamdulillah, saya sudah ada seorang cucu dan ia adalah kesayangan saya dan isteri serta anak saya, Mohd Firdaus, 30, dan menantu saya, Nur Shahera Nordin, 30.
“Semoga ibadah ini diterima Allah dan semoga cucu saya menjadi insan yang mempuyai ilmu agama dan dunia yang seimbang serta mampu menjadi wanita solehah apabila dewasa kelak,” katanya ketika ditemui pada program penyembelihan haiwan korban di kandang lembu di Kampung Solok Binjai, Pengkalan Balak di sini hari ini.

Pada program itu, haiwan korban berkenaan disembelih Pegawai Agama Jabatan Mufti Negeri Melaka, Zulkifli Yaakob; Imam I Masjid al-Ehsan, Mohd Nawawi Abdullah dan Bilal, Mohd Fazar Abdul Samad.

Nur Shahera berkata, beliau dan suami amat bersyukur apabila Azman menyatakan hasratnya untuk melakukan ibadah korban atas nama anak mereka dan berdoa agar ibadah itu diberikan ganjaran sewajarnya.

“Alhamdulillah, kami tiada halangan apabila bapa mentua saya menyatakan hasrat ingin melakukan ibadah korban atas nama anak pertama kami dan saya berdoa agar Nur Qaysara bakal menjadi anak yang mampu memberikan bakti kepada agama, bangsa dan negara apabila dewasa kelak,” katanya.

Views:

231
Kongsi :
Previous post Pengagihan daging korban secara pandu lalu
Next post Pakai pelitup muka, jaga kebersihan tangan dan amal penjarakan fizikal
Ubah saiz-+=