Pengiktirafan Bandar Paling Bahagia gamit pelancong ke Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

BANDA HILIR 15 Mac – Bandaraya Melaka diiktiraf sebagai 10 Bandar Paling Bahagia di Malaysia Tahun 2024 hasil penilaian Kajian Indeks Kebahagiaan Malaysia 2024 yang dijalankan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia).

Turut tersenarai adalah Cameron Highlands, Jeli, Jerantut, Kuala Terengganu, Lenggong, Petaling Jaya, Port Dickson dan Rompin.

Pengiktirafan tersebut telah diumumkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming pada Majlis Sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia di Putrajaya, semalam.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman berkata, pengiktirafan tersebut merupakan antara kejayaan bermakna pada tahun ini bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Katanya, kejayaan tersebut adalah usaha berterusan MBMB dalam menepati 14 kriteria ditetapkan, di samping ia juga hasil komitmen padu warga Bandaraya Melaka.

“Indeks kebahagiaan tersebut merangkumi 14 kriteria penilaian termasuk kesejahteraan, kepuasan pelanggan, kesihatan dan lain-lain yang mana Bandaraya Melaka telah menepati kriteria ditetapkan.

“Ia adalah rentetan daripada pelbagai inisiatif yang dilakukan Kerajaan Negeri, antaranya Paramedik Komuniti, Zon Bebas Kenderaan dan pelbagai lagi yang menjadi penyumbang Bandaraya Melaka diiktiraf antara 10 Bandar Paling Bahagia di negara kita.

“Pengiktirafan ini juga menjadi ‘batu loncatan’ untuk menggamit lebih ramai pengunjung dan pelancong ke Melaka sebagai sebuah negeri pelancongan unggul apatah lagi bersempena TMM2024 tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi Penyelaras Paramedik Komuniti merangkap Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh melawat Stesen Rawatan Kecemasan Paramedik Komuniti di Bangunan Stadthuys, di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Shadan turut memaklumkan MBMB telah memenangi Anugerah Emas bagi inisiatif pengurangan karbon menerusi pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan di Banda Hilir.

“Anugerah dan pengiktirafan yang diterima MBMB ini merupakan satu kaedah dalam membantu Kerajaan Negeri menarik pelancong berkunjung ke Melaka dan seterusnya menjayakan TMM2024.

“Suka untuk saya kongsikan, meskipun kini kita memasuki bulan Ramadan namun jumlah pengunjung dan pelancong di Zon Bebas Kenderaan Banda Hilir pada hujung minggu mencecah lebih 16,000 orang yang mana ini menunjukkan sesuatu yang cukup positif,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1056
Kongsi :
Previous post Suburkan usaha murni sepanjang Ramadan – KM
Next post JKN Melaka ambil sampel ‘sup daging telur lalat’
Ubah saiz-+=