Pengkalan Batu bersih, indah, harmoni

Masa Membaca:3 Minit, 48 Saat

PENGKALAN BATU 29 September – Mencantik dan mengharmonikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu, itu impian Datuk Kalsom Noordin.

Meskipun ianya bukan suatu kerja yang mudah untuk dilaksanakan dan memerlukan gandingan pelbagai agensi, namun beliau sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yakin dapat dilaksanakan sekaligus menjadikan kampung di Pengkalan Batu antara terbersih di negeri ini.

Katanya, dalam tempoh terdekat ini pihaknya akan cuba menyelesaikan masalah longgokan sampah dibahu jalan selain meneruskan kembali khidmat lori mengangkut sampah di kawasan kampung yang dihentikan sebelum ini.

“Masalah kebersihan ini mungkin disebabkan keadaan isu tanah yang terlalu dekat sehingga tiada saliran perparitan, selain menyebabkan akses pembersihan tidak dapat dilakukan secara menyeluruh malah apa yang menyedihkan saya apabila ada yang sanggup membuang sampah di tepi sawah padi.

“Kita akan cuba mengalihkan tong sampah yang berada dibahu jalan ke kawasan dalam yang akan dikenal pasti selain pada Oktober ini kita akan gerakkan kembali lori ‘roro’ setiap dua hari ke kawasan kampung untuk pungutan sampah,” katanya.

1
KALSOM

PROGRAM KAMPUNG CANTIK

Beliau yang lebih mesra dipanggil Kak Som berkata, bagi menjayakan misi pengindahan dan kebersihan, turut dilancarkan Program Kampung Cantik di Cawangan Bukit Palah selain akan mengadakan gotong royong secara berkala setiap dua minggu.

“Sebelum ini kita adakan gotong royong setiap bulan di setiap kampung dan ianya akan diadakan berterusan secara berkala dua minggu sekali dengan pembabitan penduduk serta agensi kerajaan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Namun begitu pihak saya amat mengalu-alukan sokongan dan kerjasama daripada penduduk dalam mengadakan gotong royong ini meskipun sebelum ini ia kurang mendapat sambutan,” katanya.

Beliau yang juga Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri berkata, penduduk DUN Pengkalan Batu khususnya bertuah kerana berkedudukan di lokasi yang stretegik yang lengkap fasiliti iaitu mempunyai hospital, masjid dan tempat membeli belah.

SELESAI ISU BANJIR

Beliau berkata, selain menumpukan kepada kebersihan dan pengindahan, beliau turut fokus dalam menyelesaikan isu banjir kilat di kawasan itu yang sebelum ini sering berlaku apabila cuaca hujan lebat.

3
PROJEK menaik taraf sistem perparitan yang sedang dijalankan bagi mengatasi masalah banjir di Kampung Pulau Nibong, Pengkalan Batu. Foto Iqmal Haqim Rosman

“Akibat banjir kilat ramai penduduk yang terkesan dan kita antara penyelesaian diambil adalah membina tembok tiga kaki sepanjang kira-kira 100 meter, melebar dan mendalamkan sungai di Jalan Pulau Nibong, Kampung Pengkalan Batu serta pembinaan baraj di Kampung Bachang Darat.

“Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua pihak yang terbabit apabila usaha untuk tangani banjir kilat dilihat berjaya ini kerana kebelakangan ini apabila cuaca hujan lebat tiada lagi aduan khususnya membabitkan kawasan hot spot banjir,” katanya.

Katanya, keadaan ini disebabkan longkang yang dikatakan punca berlaku banjir kilat diselenggara serta dibersihkan secara berkala oleh pihak yang terbabit.

PENDIDIKAN DEMI MASA DEPAN

Menurut Kalsom lagi, pendidikan di DUN Pengkalan Batu turut diberi perhatian apabila sebuah sekolah rendah agama (SRA) dan kolej tingkatan enam akan dibangunkan di Bachang.

2
KALSOM melawat tapak sekolah agama MAIM yang bakal dibangunkan di Kampung Bachang Darat, Pengkalan Batu. Foto Iqmal Haqim Rosman

“Di kawasan Peringgit kini hanya terdapat sebuah sekolah kebangsaan sahaja serta sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC), oleh itu kita terpanggil untuk membina lagi sekolah bagi menampung keperluan.

“Untuk pembinaan kolej tingkatan enam kertas cadangan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) sudah diangkat kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk diluluskan.

“Begitu juga dengan kertas cadangan SRA yang dianggarkan berkeluasan 0.65 ekar juga sudah diangkat kepada KPM. SRA sedia ada sekarang yang mempunyai enam kelas dengan 179 murid tidak mampu lagi menampung murid,” katanya.

Mengulas lanjut, Kalsom berkata, sebagai Adun beliau sentiasa berlapang dada dan mengalu-alukan penduduk yang mempunyai sebarang pemasalahan hadir ke JAPERUN untuk dibantu.

“Selain setiap hari Jumaat diadakan hari bertemu rakyat saya juga membuka pintu JAPERUN Pengkalan Batu seluas-luasnya kepada orang ramai untuk datang. Malah difahamkan hubungan antara kami bersama masyarakat amat baik apabila menerima reaksi positif daripada masyarakat pelbagai kaum,” katanya.

BIODATA

Nama: Datuk Kalsom Noordin
Umur: 69

Karier:-
– Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan (2021 – kini)
– Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Batu (2021 – kini)
– Presiden Majlis Jaksa Pendamai Negeri Melaka

Politik:-
– Setiausaha Wanita UMNO Negeri Melaka (2018 – kini)
– Ketua Wanita UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya (2013 – kini)

 

INFO DUN PENGKALAN BATU

Jumlah penduduk : 31,279

Kampung : 10
Taman Perumahan : 28
Balai raya : 13

Rumah Ibadat:-
Masjid: 4
Surau: 22
Tokong: 2
Gereja: 2

Institusi Pendidikan:-
Sekolah Kebangsaan: 1
Sekolah Menengah: 2
Sekolah Rendah Agama JAIM: 3
Sekolah Jenis Kebangsaan Cina: 1

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2463
Kongsi :
Previous post Ketua Penerangan UMNO Kota Melaka meninggal dunia
Next post Perginya sahabat baik, rakan perjuangan – KM
Ubah saiz-+=