Pengusaha guna sumber air perlu ada lesen – BKSA

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

AYER KEROH 15 Mei – Semua pengusaha daripada pelbagai sektor yang menggunakan bekalan air mentah sebagai sumber aktiviti dalam perniagaan diminta tampil untuk melesenkan perniagaan di bawah Lesen Abstraksi Air Mentah menerusi Badan Kawal Selia Air (BKSA), Jabatan Ketua Menteri Melaka.

Pengarah Sumber Air BKSA, Faizah Abdul Rahman @ Sulaiman berkata, langkah itu bagi memastikan sistem penggunaan dan saliran air di Melaka mampu terhindar daripada berlakunya pencemaran dalam industri.

“BKSA akan memastikan kepada semua pemegang lesen mampu mengawal kepada semua aktiviti abstraksi air mentah di negeri ini termasuk kawalan pencemaran terhadap sumber air membabitkan air bumi, air permukaan dan air laut.

“Saya berharap semua pengusaha tampil dan memberikan komitmen yang tinggi kepada BKSA bagi memastikan penggunaan air mentah yang terkawal dan pencemaran air dapat dikurangkan oleh pengusaha pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Hari Bertemu Pelanggan dan Perasmian Pejabat Baharu BKSA di Menara Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Majlis itu telah dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer serta tetamu lain.

Pada majlis itu juga, turut diadakan penyampaian Anugerah Pemegang Lesen Abstraksi Air Mentah kepada 12 pengusaha terbaik dalam menjalankan sistem penggunaan air dan saliran terbaik di negeri ini.

Menurut Faizah, menerusi penganugerahan itu, sebanyak tiga buah syarikat telah menerima anugerah gangsa, diikuti tiga menerima anugerah perak dan tiga lagi menerima anugerah emas dan platinum.

Katanya, penerima anugerah itu merupakan antara syarikat dan organisasi yang menjalankan amalan penggunaan air mentah yang selamat dan terhindar dari pencemaran mengikut kriteria ditetapkan BKSA.

“Terdapat empat pecahan anugerah yang telah disampaikan di mana kesemua pemegang lesen yang menerima anugerah ini telah memberikan komitmen terbaik sepanjang tahun 2022.

“Pencapaian mereka juga membuktikan komitmen yang ditetapkan BKSA, komitmen menjelaskan bayaran bulanan dan mampu menjadi syarikat yang beroperasi yang mendukung amalan kawalan kepada perniagaan yang dilakukan bagi mengelakkan berlakunya sebarang pencemaran di samping beberapa pematuhan kriteria lain yang ditetapkan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1635
Kongsi :
Previous post Tujuh premis kotor kena kompaun – MPHTJ
Next post Ella bikin gamat sambutan Aidilfitri Kumpulan Syarikat KLIP
Ubah saiz-+=