Pengusaha hotel harap projek Melaka Gateway diteruskan

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

AYER KEROH 18 Nov. – Pengusaha hotel berhampiran tapak projek Melaka Gateway mengharapkan kerajaan negeri meneruskan segera pembangunan di kawasan itu selepas kontrak perjanjian bersama syarikat pemaju KAJ Development Sdn. Bhd., (KAJD) telah ditamatkan, pada Isnin.

Ia kerana pengusaha hotel menjangkakan pulangan keuntungan ekonomi daripada sektor pelancongan menerusi pembangunan projek tambakan laut itu yang dijangka siap pada 2025.

Pengurus Besar The Riviera Melaka Wong Chi Sing berharap projek berkenaan tidak bertukar menjadi projek gajah putih yang akhirnya merugikan sektor pelancongan di negeri ini.

“Ini memberi kesan pada sektor pelancongan bukan sahaja di Pulau Melaka, malah seluruh Negeri Melaka.

PENGURUS Besar The Riviera Melaka Wong Chi Sing

“Seperti kita tahu projek Melaka Gateway mampu menarik pelancong luar datang ke Melaka, jadi ia memberi kesan kepada kita,” katanya kepada MHI.

Katanya, projek itu perlu diteruskan memandangkan lokasinya hanya terletak beberapa meter dari The Riviera Melaka.

Sementara itu, Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka Sa’ari Basiron berkata, projek Melaka Gateway perlu diteruskan kerana ia memberi impak pelancongan antarabangsa.

“Kita harap projek ini boleh direalisasikan sebab memberi impak pelancongan antarabangsa kepada Negeri Melaka.

PENGURUS Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka Sa’ari Basiron

“Jika ia diteruskan sudah pasti mampu menarik kedatangan pelancong ke Melaka bukan hanya tempatan malah luar negara,” katanya.

Untuk rekod perjanjian Projek Melaka Gateway bermula sejak 4 Oktober 2017 ditamatkan berikutan syarikat berkenaan gagal menyiapkan projek penambakan laut seluas 609 ekar di Daerah Melaka Tengah mengikut tempoh ditetapkan.

Melaka Gateway adalah projek pembangunan komersial bercampur di kawasan seluas 246.4 hektar terdiri daripada empat pulau.

Tiga daripada pulau itu dengan dua darinya merupakan pulau buatan manusia dijangka siap pada 2025 yang dianggarkan bernilai RM43 bilion bagi memperkasakan sektor pelancongan, hartanah dan perkembangan maritim.

Manakala, pulau keempat iaitu Pulau Melaka bakal menjadi pusat aktiviti maritim dan taman industri maritim yang dibangunkan KAJD bersama Kerajaan Guangdong, China dan Perbadanan Ketua Menteri (CMI).

Melaka Gateway merupakan antara projek berskala mega bagi menyahut inisiatif ‘Satu Jalur, Satu Jalan’ yang dilaksanakan Kerajaan China pada 2013.

Inisiatif itu merupakan strategi pembangunan ekonomi yang menyatukan wilayah Asia menjadi lokasi pembangunan ekonomi terbesar melalui pembangunan infrastruktur melibatkan Asia Timur, Asia Selatan, Asia barat, Asia Tenggara, Timur Tengah dan Eropah.

Views:

1106
Kongsi :
Previous post i-Sinar: Berita baik buat pencarum KWSP
Next post Projek Melaka Gateway ‘terbengkalai’ jejas pendapatan nelayan
Ubah saiz-+=