Projek Melaka Gateway ‘terbengkalai’ jejas pendapatan nelayan

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

TELOK MAS 18 Nov. – Enjin rosak selain jaring dan pukat tersangkut antara kerugian yang dialami nelayan persisir pantai Kampung Portugis di sini akibat kerja penambakan laut Melaka Gateway di sini, sejak beberapa tahun lalu.

Stanley Edward Fradericks, 43, yang sudah hampir 20 tahun menjadikan laut sebagai punca pencarian berkata, sebelum kerja penambakan laut itu dimulakan, dia mampu meraih kira-kira RM300 hingga RM400 sehari, namun tidak mampu mencecah jumlah itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Tambahnya, enjin jenis 15 kuasa kuda kepunyaannya tidak mampu menyusuri laut dalam sekali gus membolehkannya untuk menangkap ikan di kawasan itu.

“Bagaimanapun, sejak pembinaan dasar laut untuk kerja penambakan laut itu, beberapa kali enjin saya rosak kerana tersangkut pada cerucuk besi yang tertanam di dasar laut.

EDWARD Fradericks

“Kalau air pasang memang tidak nampak besi itu di bawah dasar laut jadi kita pun tidak perasan melalui kawasan yang penuh dengan besi cerucuk itu, habis jaring dan pukat pun koyak.

“Sisa pembinaan yang terdapat di bawah laut seperti karpet juga dibiarkan sehingga menyebabkan jaring saya tersangkut,” katanya ketika ditemui di jeti Kampung Parit China, Ujong Pasir di sini.

Mengulas lanjut Edward Fradericks berkata, dia terpaksa berpindah ke jeti Parit China berikutan sisa lumpur yang dibuang berhampiran jeti Kampung Portugis menyebabkan air terlalu cetek untuk melabuhkan bot, sekiranya air pasang.

Bagi Gerard Danker, 61, pula sejak projek mega itu memulakan kerja-kerja penambakan laut, hampir 95 peratus golongan nelayan terjejas dari segi mendapatkan hasil laut.

“Kalau dulu, kawasan di sekitar projek itu adalah lubuk ikan, namun akibat pembinaan dasar laut serta penambakan laut, kita sudah hendak melebarkan jaring.

GERARD Danker

“Malah, kapal pasir yang digunakan untuk penambakan laut itu sudah terbiar di tengah-tengah laut sekian lama, tidak pernah beranjak,” katanya.

Ujarnya, golongan nelayan terpaksa mengubah lokasi ke jeti Parit Cina sejak Pulau Melaka diwujudkan lagi kerana pihak pemaju membuang lumpur di muara jeti Kampung Portugis sehingga menyukarkan golongan itu melabuhkan bot di kawasan itu.

“Sepatutnya apabila mereka buang lumpur untuk kerja pengorekan, pembinaan itu perlu ada sistem supaya ada pengaliran keluar dan masuk supaya air sungai mengalir dengan baik.

“Ini tidak, mereka biarkan sahaja sampai berbau, sampai cetek kawasan sekitar,” katanya.

Views:

1759
Kongsi :
Previous post Pengusaha hotel harap projek Melaka Gateway diteruskan
Next post Agong isytihar darurat di Parlimen Batu Sapi
Ubah saiz-+=