i-Sinar: Berita baik buat pencarum KWSP

Masa Membaca:3 Minit, 8 Saat

AYER KEROH 18 Nov. – Program i-Sinar yang diperkenalkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bermula bulan depan disifatkan sebagai berita gembira buat rakyat, tatkala mendepani cabaran pandemik COVID-19.

Dalam tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) di perkarangan bangunan KWSP, di sini, rata-rata rakyat menyambut baik pengumuman tersebut apatah lagi skopnya kini diperluaskan merangkumi pencarum kehilangan pekerjaan, diberi cuti tanpa gaji atau tiada sumber pendapatan.

Bagi Nur Salsabila Zaninal, 22 kebenaran khas itu nyata memberi kelegaan buatnya apatah lagi baru sahaja kehilangan kerja pada Oktober lalu hingga membuatnya kini hilang sumber pendapatan bulanan.

Dia yang juga bekas pekerja di sebuah farmasi berkata, dengan adanya bantuan pengeluaran itu, ia seakan memberi nyawa kedua buatnya untuk meneruskan kelangsungan hidup termasuk membantu menyara keluarga.

NOTIS makluman mengenai i-Sinar yang sudah dipasang di pintu masuk Bangunan KWSP di MITC.

“Saya anak tunggal dan masih ada ibu bapa. Jadi, saya juga perlu menanggung keluarga. Bila bergelar penganggur, saya hilang sumber pendapatan. Hendak cari kerja baharu sekarang pun faham-fahamlah bukannya mudah.

“Jadi, bila dikhabarkan boleh keluar Akaun 1 KWSP memang saya lega. Sedikit sebanyak pengeluaran itu dapat membantu saya menyelesaikan banyak perkara buat sementara waktu termasuklah pembayaran ansuran rumah dan kereta yang sebelum ini terjejas,” katanya.

Hal sama turut dipersetujui seorang pegawai keselamatan Jasli Ali, 60, yang menyifatkan pengumuman itu menunjukkan keprihatinan kerajaan untuk membantu rakyat yang terkesan.

Beliau bagaimanapun berharap kebenaran pengeluaran Akaun 1 itu diperluas bukan sahaja kepada golongan sasar, tetapi dapat dipertingkatkan bagi kegunaan rakyat terutama mereka yang dibebani hutang.

“Pada saya, syarat pengeluaran 10 peratus itu sudah cukup baik daripada tidak boleh keluar langsung. Kita memang gembira dengan keputusan itu cuma mungkin ada di antara rakyat yang mengharapkan lebih lagi.

“Jadi, ada baiknya jika had pengeluaran itu dapat dinaikkan lagi untuk membantu golongan yang terdesak. Apa pun, semua itu terpulang kepada keputusan kerajaan kerana kita sebagai rakyat akan menerima segala yang terbaik untuk negara,” katanya.

Sementara itu, seorang pekerja swasta Amiza Khamis, 40, yang sudah mencarum KWSP selama 20 tahun menyuarakan harapan agar pengeluaran itu turut diberikan kepada mereka yang masih mempunyai pekerjaan.

AMIZA

Katanya, walaupun ada dalam kalangan rakyat masih bekerja dan menerima gaji bulanan, namun terdapat ramai yang berada dalam keadaan tersepit, memandangkan ada daripada majikan terpaksa melakukan pemotongan gaji dan menghentikan elaun kerja lebih masa.

“Memang ramai yang masih bergaji, tapi faham-fahamlah sepanjang COVID-19 ini banyak yang disekat. Jika dahulu boleh kerja lebih masa, sekarang sudah tiada lagi dan itu sedikit sebanyak menjejaskan pendapatan bulanan.

“Kalau diberi kebenaran (pengeluaran Akaun 1) saya yakin ia dapat membantu ramai untuk menyelesaikan segala yang terjejas sebelum ini dan dapat ‘cover’ balik elaun kerja lebih masa yang tidak lagi diterima dalam beberapa bulan ini,” katanya.

Bagaimanapun, dia sempat menasihati rakyat agar dapat menggunakan pengeluaran Akaun 1 itu kepada perkara yang lebih memerlukan bagi mengharungi cabaran pandemik COVID-19 yang dihadapi kini.

“Satu sahaja nasihat saya iaitu gunakanlah ke arah kebaikan demi masa depan kita dan keluarga. Janganlah menggunakannya untuk beli barangan yang bukan-bukan hanya untuk kepuasan sendiri,” ujarnya.

Dalam tinjauan sama, MHI mendapati bangunan KWSP itu sudah memasang notis makluman di pintu masuknya mengenai i-Sinar yang boleh dimohon secara dalam talian bermula Disember ini.

i-Sinar yang diumumkan baru-baru ini merupakan satu inisiatif kerajaan untuk membolehkan pencarum KWSP mengeluarkan 10 peratus daripada amaun simpanan mereka dalam Akaun 1 tertakluk kepada baki minimum RM100.

Dalam satu kenyataan baru-baru ini, KWSP membenarkan akses kepada amaun sehingga RM9,000 bagi pencarum yang mempunyai baki RM90,000 ke bawah, manakala bagi pencarum yang mempunyai baki lebih RM90,000 dibenarkan untuk mengeluarkan sehingga jumlah maksimum RM60,000.

Bagaimanapun, perincian lanjut mengenai program i-Sinar akan diumumkan hari ini.

Views:

918
Kongsi :
Previous post Pekan Lubok China berisiko dilanda banjir besar
Next post Pengusaha hotel harap projek Melaka Gateway diteruskan
Ubah saiz-+=