Pekan Lubok China berisiko dilanda banjir besar

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

AYER LIMAU 18 Nov. – Tebing Sungai Lubok China di Kampung Pengkalan Pauh di sini diancam hakisan serius dan mendedahkan Pekan Lubok China kepada banjir besar.

Hujan lebat sejak minggu lalu menyebabkan tebing berkenaan mengalami hakisan teruk dan dibimbangi runtuh jika kerja pembaikan tebing tidak dilakukan segera.

Hujan lebat selang sehari sejak Isnin lalu menyebabkan tebing sungai yang berada dalam Melaka terhakis, manakala tebing yang di sebelah Negeri Sembilan tidak mengalami hakisan.

Ahli Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Jaafar Atan berkata, runtuhan tebing sungai akibat hakisan itu dikesan penduduk Kampung Pengkalan Pauh, Lubok China kelmarin sebelum memaklumkan kepadanya.

“Saya segera ke lokasi kejadian dan mendapati tebing di sebelah Melaka mengalami hakisan yang teruk, manakala tebing dalam Negeri Sembilan, khususnya dalam Daerah Rembau, berada dalam keadaan sebaliknya.

“Saya sudah memaklumkannya kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Ayer Limau dan pejabat penghulu bagi membolehkan kerja pembaikan dijalankan,” katanya ketika ditemui di sungai itu hari ini.

Beliau berkata, jika tebing berkenaan runtuh, Pekan Lubok China diancam banjir besar kerana Sungai Lubok China bukan setakat lebar, malah deras arusnya.

Katanya, sebelum ini sungai berkenaan hanya melimpah dan menyebabkan banjir di beberapa kampung dalam Daerah Rembau tetapi, kali ini ia mengancam Pekan Lubok China dan beberapa taman dalam Daerah Alor Gajah.

Sehubungan itu, dia meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka memberi perhatian kepada masalah itu dan berusaha menyediakan peruntukan bagi menjalankan kerja pembaikan tebing.

“Jika tebing itu runtuh, bukan setakat Kampung Pengkalan Pauh yang bakal dilanda banjir, malah Pekan Lubok China yang hanya kira-kira 700 meter dari sungai berkenaan.

Sementara itu, Pengarah JPS Melaka Abdul Hakim Hamzah berkata, beliau sudah meminta JPS Daerah Alor Gajah membuat penelitian hakisan tebing sungai berkenaan.

“Saya meminta mereka menyediakan laporan lengkap mengenai hakisan tebing sungai dan cadangan untuk mengatasinya.

“Sebarang kerja pembaikan tebing bergantung kepada peruntukan yang akan cuba diperoleh sama ada daripada Kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata, Lubok China adalah satu daripada beberapa kawasan rendah di negeri ini yang sering menghadapi ancaman banjir setiap kali hujan lebat, terutama pada November hingga Januari.

Views:

882
Kongsi :
Previous post Pelancong maya ke Melaka
Next post i-Sinar: Berita baik buat pencarum KWSP
Ubah saiz-+=