Pengusaha inap desa enggan terburu-buru beroperasi

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat
Pantai peranginan Pengkalan Balak, Masjid Tanah mula menerima peningkatan pengunjung berikutan PKPP. – Foto Din Ahmad

MASJID TANAH 18 Jun – Walaupun kerajaan sudah membenarkan sektor pelancongan kembali beroperasi melalui Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), tidak semua pengusaha penginapan terburu-buru untuk memulakan operasi.

Sebaliknya, mereka tetap berhati-hati bagi mengelak dijangkiti pandemik Covid-19, sekali gus menyelamatkan nyawa dan industri pelancongan.

Bagi pengusaha inap desa di pantai peranginan popular Pengkalan Balak, di sini, sikap terburu-buru hanya akan mendedahkan mereka kepada risiko dijangkiti pandemik berbahaya itu.

Zulkifli Abdul Hadi, 63, berkata, operasi inap desanya masih belum dimulakan selepas dihentikan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu kerana ingin memastikan wabak berkenaan benar-benar sudah berakhir.

“Saya amat bimbang jika memulakan operasi, ada tetamu positif Covid-19 menginap di inap desa saya, sekali gus menyebabkan saya dan keluarga serta tetamu lain terpaksa dikuarantin dan menjalani saringan kesihatan.

“Saya ingin memastikan wabak itu benar-benar sudah berakhir sebelum memulakan operasi walaupun sudah menerima panggilan telefon, whatsapp dan emel bertalu-talu daripada orang ramai yang ingin menyewa inap desa saya,” katanya ketika ditemui di Inap Desa Adi Village, di pantai itu.

Beliau mengusahakan inap desa yang menyediakan tiga bilik penginapan dengan kadar sewa RM500 satu malam sejak beberapa tahun lalu dan setakat ini menerima sambutan baik daripada tetamu yang kebanyakannya dari Kuala Lumpur, Johor dan Selangor.

Katanya, berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pengusaha penginapan, termasuk inap desa diwajibkan menyediakan pelbagai alat pencegah kuman, selain menjalankan sanitasi dalam dan luar premis.

Sementara itu, peniaga gerai makan, Alias Ahmad, 55, berkata, walaupun kerajaan negeri sudah membenarkan pelanggan makan di gerai awal bulan ini, beliau tidak terus berbuat demikian.

“Saya hanya memulakan perniagaan kelmarin selepas menjalankan sanitasi dalam kedai dan menyediakan pelbagai barangan keperluan mengikut SOP KKM,” katanya.

Beliau berkata, dalam tempoh beberapa minggu lagi pantai peranginan popular itu dijangka kembali sesak dengan pengunjung, terutama pelancong tempatan yang gemar menikmati suasana kampung yang tenang dan damai.

Views:

442
Kongsi :
Previous post Dua rakan baik reda ibadah haji ditangguhkan
Next post Sulaiman dilantik Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO
Ubah saiz-+=