
MELAKA SEMAKIN JADI TUMPUAN PEMINAT SUKAN ANTARABANGSA
DUYONG 10 Mei – Penyertaan pelari dari lima negara luar pada Program Melaka 24H Ultramarathon Edisi Ke-3 sempena Ulang Tahun Ke-23 Bandaraya Melaka Bersejarah menyerlahkan lagi reputasi Melaka sebagai destinasi penganjuran acara sukan bertaraf antarabangsa.
Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, penyertaan peserta dari Singapura, Indonesia, Hong Kong, China dan Filipina membuktikan acara itu serta Melaka semakin mendapat perhatian dunia sukan antarabangsa.
Menurutnya, seramai 300 peserta menyertai acara itu yang berlangsung selama 24 jam tanpa henti membabitkan kategori 24 jam, 12 jam, enam jam dan tiga jam.
“Sambutan diterima bukan sahaja mencerminkan minat terhadap sukan lasak, malah memperlihatkan kemampuan Melaka menjadi tuan rumah kepada acara sukan berskala besar dan bertaraf global.
“Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada semua peserta yang berjaya menamatkan larian. Menang atau tidak yang penting kita berjaya menghabiskan larian dan itu sendiri adalah satu kemenangan.
“Setiap peserta yang berada di sini hari ini telah membuktikan kekuatan serta keupayaan masing-masing,” katanya ketika berucap pada program berkenaan di Taman Bandaraya Bukit Serindit, di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Ahli Majlis Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Clr. Zamani Md Isa.

Mohd Noor Helmy berkata, program itu membuktikan MBMB terus menzahirkan komitmen dalam membudayakan gaya hidup sihat menerusi pelbagai program kesukanan sempena sambutan ulang tahun ke-23 Bandaraya Melaka Bersejarah.
“Usaha itu bukan sahaja menggalakkan masyarakat mengamalkan kehidupan aktif dan sihat, malah memperkukuh semangat perpaduan serta kesejahteraan komuniti selaras aspirasi Melaka Sayang Rakyat (MeSRa).
“Saya harap program begini dapat diteruskan pada masa hadapan kerana bukan sahaja mampu mencungkil bakat baharu dalam arena sukan, malah mempromosikan Melaka di peringkat antarabangsa,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


