Peniaga agih 1,000 Jalur Gemilang, semarak sambutan kemerdekaan

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

LENDU 30 Ogos – Demi kasih akan tanah air tercinta, dua peniaga makanan mengagihkan 1,000 Jalur Gemilang kecil kepada pelanggan di gerainya bagi meraikan Hari Kebangsaan yang disambut di seluruh negara esok.

Bendera berkenaan diagihkan sejak Khamis lalu, bukan setakat untuk membolehkan pelanggan memasangnya di kediaman masing-masing, malah lebih penting ialah berkongsi semangat kebangsaan ketika menyambut 31 Ogos.

Ahmad al-Idrisi Mustafar, 26, dan rakan kongsi, Majidul Md Jidin, 25, mengambil inisiatif mengagihkan bendera kebangsaan selepas menyaksikan orang ramai memasang Jalur Gemilang pada kenderaan dan kediaman masing-masing.

“Walaupun hanya bendera kecil, sekurang-kurannya ia membuktikan kami juga amat sayang akan tanah air ini dan sanggup berkorban untuk ibu pertiwi,” katanya ketika ditemui di Laman Santap, Kampung Solok Duku, di sini hari ini.

AHMAD menyerahkan Jalur Gemilang dan nasi kambing bakar kepada Kasih Yana di gerainya di Laman Santap, Kampung Solok Duku Masjid Tanah. – Foto DIN AHMAD

Dia berkata, setiap kali menghulurkan nasi kambing bakar kepada pelanggan, dia tidak lupa untuk menghulurkan Jalur Gemilang sebagai tanda berkongsi semangat sayang akan negara tercinta.

Pelanggan, Mohd Jafri Jaafar, 52, dan isteri Zaiton Saiee, 49, gembira memperoleh Jalur Gemilang ketika mendapatkan nasi kambing bakar daripada Ahmad.

“Kami tidak sangka akan memperoleh Jalur Gemilang di gerai ini dan kami ucapkan terima kasih serta selamat menyambut Hari Kebangsaan kepada pemilik gerai.

“Mungkin ada pihak menganggap pemberian Jalur Gemilang bersaiz kecil tiada membawa sebarang makna tetapi sekurang,-kurangnya mempamerkan semangat patriotik anak muda yang berniaga di gerai ini untuk meraikan kemerdekaan negara,” katanya.

Kasih Yana Azlan, 48, berkata dia amat menghargai pemberian Jalur Gemilang kerana ia adalah simbol penyatuan rakyat untuk sama-sama menentang musuh negara sama ada dari dalam atau luar negara.

“Siapa kata anak muda sekarang tidak patriotik? Anak muda di gerai ini membuktikan mereka prihatin terhadap kemerdekaan negara dan sama-samalah kita memeliharanya agar kekal untuk selama-lamanya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

577
Kongsi :
Previous post Nelayan perlu segera warnakan perahu ungu
Next post ‘Hanya beg dijumpai terapung’ – adik anggota tentera
Ubah saiz-+=