Sorting by

×

‘Hanya beg dijumpai terapung’ – adik anggota tentera

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

AYER KEROH 30 Ogos – Pasukan mencari dan menyelamat Lans Koperal Mohamad Azrin Mohamad Isa, 27, yang dikhuatiri lemas di Sungai Pahang semalam hanya menjumpai beg dipercayai dipakai anggota berkenaan.

Perkembangan terbaharu itu dikongsi adiknya, Noor Suhada Mohamad Isa, 24, ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI) hari ini.

“Setakat ini (4 petang) tiada apa-apa perkembangan mengenai penemuan abang.

“Katanya (pasukan mencari dan menyelamat) beg sahaja yang jumpa tadi terapung,” katanya ringkas.

Menurutnya, kakak iparnya kini masih berada di Melaka dan sedang mengikuti perkembangan mengenai usaha mencari suaminya itu.

Sementara itu, terdahulu menerusi status Facebooknya pagi tadi, Noor Suhada yang berasal dari Kedah berkongsi rakaman video usaha mencari dan menyelamat abangnya itu di Sungai Pahang.

“Ya Allah..permudahkanlah urusan mereka mencari abang Su pagi ini.

“Lancarkanlah segala urusan dalam misi pencarian ini. Semoga abang Su dijumpai selamat dan berada dalam lindunganNya…Aamiin,” tulisnya.

Media hari ini melaporkan Mohamad Azrin yang terlibat dalam latihan Eksesais Para Predator di pesisir Sungai Pahang berhampiran Kampung Batu Bor, Pahang semalam dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai berkenaan.

Difahamkan dalam kejadiaan kira-kira jam 4.40 petang itu, mangsa berusia 27 tahun terjatuh ketika melakukan aktiviti penyusupan dan penyeberangan sungai.

Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat mangsa mula digerakkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia kira-kira jam 5.40 petang semalam sebelum ditangguhkan pada jam 7 malam.

Eksesais Para Predator adalah salah satu eksesais yang dilaksanakan Tentera Darat Malaysia (TDM) melalui 10 Briged (PARA) yang berpengkalan di Kem Terendak, Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1270
Kongsi :
Previous post Peniaga agih 1,000 Jalur Gemilang, semarak sambutan kemerdekaan
Next post Ketua jabatan perlu kenal pasti, selesaikan masalah 2.2 peratus penjawat awam tidak daftar vaksin
Ubah saiz-+=