Peniaga beroperasi seperti biasa ketika PKPB

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

TANJUNG BIDARA 9 Nov. – Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula hari ini dijangka tidak menyebabkan penyusutan perolehan ketara peniaga kerana perniagaan berjalan seperti biasa.

Mereka sudah bersedia menghadapi PKPB kali ini kerana pernah melaluinya dari Jun hingga Ogos lalu.

Jamaludin Hamzah, 58, berkata perniagaan makanan dan minuman yang dijalankan di Jalan Masjid Tanah-Pengkalan Balak, Masjid Tanah di sini sejak tiga tahun lalu akan beroperasi seperti biasa, meskipun PKPB dikuatkuasakan.

Beliau berkata, pengalaman berniaga ketika PKPB dilaksanakan selama dua bulan mulai Jun lalu memberikan iktibar, pelanggan yang mendapatkan pesanan makanan dan minuman melalui kaedah bungkus melebihi yang makan di warung.

“InsyaAllah jumlah pelanggan tidak akan susut banyak kerana masih ada pelanggan yang boleh makan di warung dan ada juga yang membelinya secara bungkus.

“Begitu juga yang membelinya secara pesanan pembayaran ketika penghantaran yang dijangka bertambah berbanding yang datang sendiri di warung,” katanya ketika ditemui di warungnya hari ini.

Beliau berkata, PKPB sekurang-kurangnya lebih longgar berbanding Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan dari 18 Mac hingga 11 Jun lalu yang menyaksikan warungnya tidak beroperasi sepanjang tempoh berkenaan.

“Walaupun pelanggan yang hadir untuk makan dan minum di warung semasa PKPB berkurangan, sekurang-kurangnya masih ada yang datang untuk membelinya secara
bungkus,” katanya.

Amieza Senin, 36, berkata perniagaannya beroperasi seperti biasa, tetapi beliau menjangka jumlah pelanggan yang hadir di warung tidak akan mengalami penyusutan ketara.

“Tidak ramai pelanggan yang mahu duduk di warung jika PKPB dilaksanakan seperti yang berlaku semasa PKPB sebelum ini tetapi jumlah pelanggan yang membeli secara bungkus dijangka bertambah.

AMIEZA menyiang ikan di warungnya di Pantai Puteri, Tanjung Kling. – Foto Din Ahmad

“Sekurang-kurangnya kami masih dapat berniaga dan ia jauh lebih baik daripada langsung tiada peluang untuk berniaga semasa PKP dilaksanakan sebelum ini,” katanya ketika ditemui di warungnya di Pantai Puteri, Tanjung Kling hari ini.

Mohd Ali Kamarudin, 56, berkata, meskipun agak bimbang dengan pelaksanaan PKPB yang dijangka menyebabkan penurunan jumlah pelanggan, beliau yakin perniagaannya masih mampu bertahan.

“Saya masih boleh berniaga walaupun PKPB dilaksanakan tetapi hanya dua pelanggan bagi satu meja dan ia tetap memberikan pulangan kepada saya,” katanya di warungnya di pekan Lubok Cina.

Sehubungan itu, beliau berdoa agar PKPB hanya dilaksanakan selama sebulan dan tidak dilanjutkan selepas itu.

Views:

335
Kongsi :
Previous post Akur sambut Deepavali dalam PKPB
Next post Barangan antik lebur bersama rumah pusaka
Ubah saiz-+=