Penipuan haji dan umrah: 121 laporan polis libatkan kerugian lebih RM5.1 juta

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

KUALA LUMPUR, 19 Julai – Polis Diraja Malaysia menerima 121 laporan berhubung kes penipuan pakej menunaikan ibadah haji dan umrah menggunakan visa furada terhadap tiga syarikat pelancongan swasta yang melibatkan kerugian lebih RM5.1 juta.

Setiausaha Polis Malaysia Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata Kuala Lumpur mencatatkan bilangan laporan tertinggi iaitu 48 laporan membabitkan kerugian kira-kira RM2 juta diikuti Selangor dengan 30 laporan melibatkan kerugian RM956,300.

Beliau berkata 18 laporan melibatkan kerugian dianggarkan RM1.2 juta diterima di Pahang manakala masing-masing enam laporan diterima di Kelantan, Perak dan Johor dengan kerugian RM608,000.

“Kedah mempunyai tiga laporan dengan nilai kerugian RM48,000, Negeri Sembilan merekodkan dua laporan membabitkan kerugian RM170,500 manakaka masing-masing satu laporan di Terengganu dan Pulau Pinang yang melibatkan kerugian RM70,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noorsiah berkata 22 kertas siasatan berkaitan penipuan itu dibuka, membabitkan 323 mangsa.

Pada 7 Julai lepas, kira-kira 380 bakal jemaah haji dilaporkan terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan swasta.

Mereka dipercayai menggunakan visa furada, iaitu visa yang diuruskan sendiri tanpa membabitkan jumlah kuota yang diperoleh Lembaga Tabung Haji (TH).

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2381
Kongsi :
Previous post Polis tahan empat keldai akaun
Next post Balai raya dibaik pulih, jalan raya diturap untuk keselesaan
Ubah saiz-+=