Pensyarah dituduh buat tuntutan palsu

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

AYER KEROH 7 Julai – Seorang pensyarah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini, atas pertuduhan membuat tuntutan palsu bernilai lebih RM175,000 sejak enam tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Shafie Osman, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua 10 pertuduhan keatasnya yang dibacakan jurubahasa mahkamah dihadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

Mengikut pertuduhan tertuduh sebagai ejen kepada Kerajaan Malaysia didakwa menggunakan beberapa dokumen yang mana butir pembekalan berkenaan tidak wujud bernilai RM175,269.14.

Antara tuntutan yang dilakukan termasuk membekal keperluan latihan dan persiapan kejohanan ragbi, mencetak keperluan aktiviti pelajar dan pembekalan Program Penutup Bulan Kebangsaan Peringkat Politeknik Malaysia 2017.

Kesemua kesalahan itu dilakukan tertuduh di Merlimau antara November 2014 hingga September 2018.

Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi dan penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh turut ditawarkan 10 pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 471.

Prosiding pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya R Francine Cheryl mencadangkan jaminan RM30,000 diberikan kepada tertuduh dengan mengambil kira nilai kesalahan dilakukan tertuduh.

Dia yang diwakili peguam Rosli Kamaruddin merayu jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan tertuduh menanggung tiga anak serta ibu yang uzur selain berpendapatan kira- kira RM6, 000 sebulan.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin selain mengarahkan passportnya diserahkan kepada mahkamah.

Selain tertuduh juga diminta melapor diri setiap bulan di Pejabat SPRM Melaka serta menetapkan 7 Ogos depan tarikh sebutan semula kes.

Views:

386
Kongsi :
Previous post Immigration Dept seeks Bangladeshi man
Next post Paras garis kemiskinan baharu diumum dalam masa terdekat – Mustapa
Ubah saiz-+=