Pentas Kemuncak Sanggar Berbalas Pantun 24 Dis ini

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

AYER KEROH 21 Dis – Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka akan mengadakan Majlis Pentas Kemuncak Sanggar Berbalas Pantun dan Pelancaran Buku Pantun Warisan Merentas Zaman 24 Dis ini.

Majlis yang diadakan di Auditorium Panggung Seri Kompleks JKKN Melaka itu merupakan anjuran bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) menerusi Persatuan Penulis Negeri Melaka (PENAMA) dengan sokongan Yayasan Hasanah.

Pengarah JKKN Melaka, Ezlina Alias berkata pentas itu sebahagian daripada Program ArtFas di bawah Yayasan Hasanah yang menggunakan konsep mentor-mentee hasil Projek Bimbingan Penukilan Pantun.

“Hasil projek bimbingan itu telah berjaya menghasilkan 1,040 rangkap pantun dari lima pasukan pantun dengan disertai lebih 50 pemantun atas talian sejak Okt lalu dan dibimbing lima mentor.

“Antara kelainan yang diselitkan dalam program ini ialah Acara Sanggar Kemuncak Berbalas Pantun yang bukan saja dalam kalangan peserta terpilih, malah para penonton turut dibolehkan untuk menjawab soalan pantun yang dijual jurupantun dalam bentuk teatrikal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Program tersebut dijangka dirasmikan Exco Pelacongan, Kebudayaan dan Warisan Negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis.

Ujarnya, program itu juga sebahagian daripada sambutan ulang tahun pertama pengiktirafan pantun sebagai Warisan Tidak Ketara Dunia oleh UNESCO pada 17 Dis 2020 yang lalu.

“Manakala Persatuan Penulis Negeri Melaka (PENAMA) merupakan satu-satunya badan seni budaya bukan kerajaan di Melaka serta di seluruh negara dalam kategori kesusasteraan yang berjaya mendapatkan geran dari Yayasan Hasanah untuk projek ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1879
Kongsi :
Previous post Sembilan mayat ditemukan di kawasan banjir di Shah Alam
Next post Ajal selepas tukar tayar kereta
Ubah saiz-+=