Penyelesaian menang-menang antara MPAG, PDTAG dan pemilik tanah

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

PAYA RUMPUT 28 Ogos – Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah (PDTAG) serta pemilik tanah, diminta untuk mengadakan perbincangan bagi mencari penyelesaian ‘menang-menang’ berhubung isu mengenakan caj sewaan tapak khemah di Pantai Pengkalan Balak.

Terdahulu perkara itu tular di media sosial apabila ada dalam kalangan warganet meluahkan rasa kurang senang dengan tindakan individu berkenaan yang mendakwa sebagai pemilik tanah mengenakan caj RM10 bagi sewaan tapak perkhemahan dan aktiviti memancing.

Mengulas berhubung perkara itu, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, MPAG sudah diminta untuk menyiasat aduan itu sebelum perbincangan lanjut diadakan bagi mencari penyelesaian.

“Berdasarkan maklumat awal diterima ada tanah (kawasan pantai) adalah milik individu, cuma kita tidak mahu ada antara mereka mengenakan caj yang tidak munasabah atau sebagainya.

“Berikutan itu kita akan aturkan perbincangan antara MPAG dan PDTAG serta pemilik tanah. Semua ini adalah bagi mengelakkan daripada timbul rasa kurang senang dalam kalangan pengunjung.

“Kita semua sedia maklum, Pantai Pengkalan Balak adalah tumpuan ramai, bukan sahaja dalam kalangan orang Melaka tetapi pelancong luar,” katanya.

WhatsApp Image 2023-08-28 at 14.51.33
RAIS ketika melawat Pasaraya Kucing Terbesar Cat Cupermarket di Taman Paya Rumput di sini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan Pasaraya Kucing Terbesar Cat Cupermarket yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif pasaraya itu Datuk Chew Chert Fong, di Taman Paya Rumput, di sini, hari ini.

Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput berkata, pihaknya yakin satu keputusan terbaik akan dicapai hasil daripada perbincangan yang akan dilakukan oleh MPAG dan PDTAG kelak.

Sementara itu beliau berkata, pembukaan pasar raya menjual pelbagai produk haiwan peliharaan khusus kucing terbesar Malaysia itu secara tidak langsung membantu menjana ekonomi setempat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput.

“Pihak pengurusan pasar raya ini tidak melupakan golongan memerlukan dan kali ini menerusi program CSR mereka menyumbangkan RM2,000 kepada Persatuan Kanser Malaysia,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

8286
Kongsi :
Previous post ‘Car free zone’ tumpuan keluarga bersantai
Next post Merdeka 66 :Guna bahan kitar semula luah rasa cinta pada negara
Ubah saiz-+=