Penyertaaan lebih ramai penjawat awam pacu wakaf jadi sektor ketiga ekonomi negara- KSN

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

PUTRAJAYA 3 Ogos – Penyertaan dan sokongan daripada 1.6 juta penjawat awam diperlukan bagi membolehkan wakaf menjadi sektor ketiga ekonomi negara yang dapat memanfaatkan setiap lapisan masyarakat, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Ketika menyampaikan ucaptama pelancaran Waqf Breakfast Talk bertemakan ‘Penjawat Awam Pemangkin Kemakmuran Wakaf’ secara maya hari ini, beliau berkata penjawat awam boleh melaksanakan wakaf secara potongan gaji sama ada melalui Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) atau Majlis Agama Islam Negeri masing-masing.

Menurutnya, seramai 6,616 penjawat awam telah berwakaf melalui potongan gaji sehingga 25 Julai lalu.

Dengan berharap lebih ramai penjawat awam akan terlibat dalam ibadah wakaf secara tunai, beliau berkata wakaf bukan hanya difokuskan kepada pembangunan sosial tetapi perlu dilihat dalam konteks lebih besar iaitu sebagai satu daripada elemen penting dalam membantu pembangunan ekonomi negara.

 

ANTARA peserta yang mengikuti ucaptama pelancaran ‘Waqf Breakfast Talk’ bertemakan ‘Penjawat Awam Pemangkin Kemakmuran Wakaf’ secara maya. Foto- Facebook Mohd Zuki.

“Tidak perlu menunggu sehingga mempunyai harta seperti rumah atau tanah untuk berwakaf, kini urusan pewakafan dipermudahkan melalui tunai sahaja,” katanya.

Mohd Zuki berkata beliau telah meluluskan Pekeliling Am Bil. 1 Tahun 2020 Tatacara Pelaksanaan Sumbangan Wakaf Tunai Melalui Potongan Gaji Secara Sukarela Bagi Pegawai Awam yang berkhidmat di Wilayah Persekutuan dan negeri pada 20 Disember tahun lalu.

Beliau berkata Subseksyen 44 (11D) Akta Cukai Pendapatan 1967 juga menggariskan galakan wakaf dalam kalangan penjawat awam menerusi potongan cukai selain berwakaf secara tunai melalui pemotongan gaji.

Beliau berkata wakaf adalah berbeza dengan zakat kerana dana wakaf bukan sahaja diagihkan kepada masyarakat beragama Islam, malah ia boleh diagihkan kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira agama, kaum dan keturunan.

Sebagai contoh, katanya pelaksanaan enam projek di bawah Tabung Wakaf Tunai Khas Perkhidmatan Air Malaysia atau Wakaf Air yang dijalankan Kementerian Alam Sekitar dan Air di enam negeri telah memanfaatkan 2,880 penduduk sekitar.

Menurut Mohd Zuki, kerajaan juga memainkan peranan penting dalam pembangunan wakaf melalui penyediaan peruntukan pembangunan hartanah wakaf di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) hingga RMK-11 dengan jumlah keseluruhan RM299.33 juta, yang berjaya membangunkan 18 projek berimpak tinggi di atas tanah wakaf di beberapa negeri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

619
Kongsi :
Previous post Remaja dikompaun RM5,000 tanggal gelang kuarantin
Next post Usul bahas Ordinan Darurat boleh dibawa ke sidang Parlimen September – Muhyiddin
Ubah saiz-+=