Penyiar dan pengendali stesen radio perlu tingkat kreativiti – Annuar

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

KUALA LUMPUR, 13 Feb – Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa mahu penyiar dan pengendali stesen radio meningkatkan kreativiti dalam penyampaian perkhidmatan kerana medium komunikasi itu mempunyai peranan besar dalam kemajuan negara bangsa.

Pada masa sama, beliau berkata radio perlu sentiasa mengekalkan tahap profesionalisme kewartawanan bagi memastikan perkhidmatan itu kekal relevan dan berdaya maju.

“Kita ingin lihat kreativiti para penyiar bagaimana mengadunkan bahan berita dengan muzik serta ilmu-ilmu asas seperti ilmu agama dan ilmu formal di sekolah juga boleh disiapkan keupayaannya menggunakan suara dan teknologi radio.

“Saya sangat berharap daya kreativiti para penyiar, pengendali stesen radio, penggiat dan pencinta komunikasi melalui radio agar sama-sama membangunkan perkhidmatan radio di Malaysia yang terbaik dan bermutu tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan sambutan Hari Radio Sedunia secara maya dalam program Selamat Pagi Malaysia yang disiarkan di TV1 hari ini. Hari Radio Sedunia disambut pada 13 Feb setiap tahun.

Sambutan tahun ini yang bertemakan ‘Radio dan Keyakinan’ turut diperincikan kepada tiga sub tema iaitu kebolehpercayaan dalam kewartawanan radio, kebolehpercayaan dan kebolehaksesan serta kebolehpercayaan dan daya maju stesen radio.

Berteraskan sub tema itu, Annuar berkata perkhidmatan radio perlu memastikan kandungan yang disiarkan adalah tepat, cepat, berkesan dan sekali gus dapat melahirkan keyakinan yang tinggi dalam kalangan masyarakat.

Dari sudut kebolehaksesan pula, beliau berkata radio harus kekal sebagai medium komunikasi penting kerana ia mempunyai tahap kebolehcapaian lebih luas dan berkesan, selain radio turut bersaing dengan kaedah penyebaran berita yang lain perlu mempunyai tahap kedayahidupan dan boleh dioperasikan sepanjang masa.

Walaupun teknologi pada masa kini mengalami perubahan, radio masih kekal mampan kerana selain penglihatan, sentuhan dan deria rasa, pancaindera pendengaran mempunyai peranan sangat penting sebagai medium komunikasi, katanya.

Sambutan Hari Radio Sedunia mula dianjurkan atas inisiatif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2012 bagi mengiktiraf sumbangan dan peranan radio.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

846
Kongsi :
Previous post Pengakuan sumpah laknat wanita libat bekas ADUN tidak ganggu siasatan
Next post Penjawat awam tunjang sistem penyampaian kerajaan – Cuepacs
Ubah saiz-+=