‘Perabis duit lebih demi SOP’

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat
ZULKIFLI mengambil suhu badan Nur Iman Ilyani Mohd Nazeru, 9, dan adiknya, Mohd Nukman Muqrin, 7, bilik di inap desanya di pantai peranginan Pengkalan Balak, dekat Alor Gajah – Foto Din Ahmad

TANJUNG BIDARA 17 Julai – Tiada kompromi dalam aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak daripada dijangkiti pandemik Covid-19.

Bukan setakat mempraktikkan SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), malah sanggup mengeluarkan kos agak tinggi semata-mata untuk memastikan pandemik berkenaan tidak terus merebak.

Itulah yang dipraktikkan seorang pengusaha inap desa ketika orang ramai dilaporkan semakin alpa dan melanggar SOP kerana menganggap Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) tidak lagi dikuatkuasakan.

Selain mempraktikkan SOP ditetapkan KKM dengan ketat bagi mencegah penularan pandemik Covid-19, Zulkifli Abdul Hadi, 63, sanggup berbelanja besar demi tetamu inap desanya, agar bebas daripada wabak berkenaan.

Zulkifli mempraktikkan SOP dengan mengambil nama dan suhu badan setiap tetamu, selain menyediakan cecair pembasmi kuman (hand sanitiser) untuk mereka bagi meminimakan penularan wabak tersebut.

Usaha mencegah wabak berkenaan diperkukuh dengan usaha Zulkifli menggunakan mesin asap yang berfungsi membunuh kuman dalam bilik inap desa.

“Saya mengeluarkan kos lebih RM500 untuk mendapatkan mesin itu dan setiap kali selepas tetamu mendaftar keluar, saya pasang mesin itu untuk mengasapkan seluruh bilik selama lima minit.

“Hanya selepas mesin itu berhenti, barulah saya membuka pintu supaya asap keluar dari bilik dan tiada kuman memenuhi ruangan dalam bilik,” katanya ketika ditemui di inap desanya di pantai peranginan Pantai Pengkalan Balak, di sini hari ini.

Beliau berkata, walaupun penggunaan mesin berkenaan bukan sebahagian daripada SOP ditetapkan KKM, beliau mengambil inisiatif sendiri untuk melaksanakannya demi keselamatan tetamu.

Katanya, sejak menggunakan mesin itu sejurus kembali beroperasi dua minggu lalu, tiga bilik dalam inap desa berkenaan berbau wangi dan diyakini terhindar daripada bakteria.

Zulkifli hanya kembali beroperasi dua minggu lalu kerana tidak mahu premisnya dan pantai peranginan itu menjadi lokasi penyebaran pandemik Covid-19 akibat dikunjungi tetamu atau pelancong yang menghidap wabak berbahaya itu.

Beliau menghentikan operasi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac lepas, tetapi tidak segera memulakan semula operasi, walaupun kerajaan telah memberikan kelonggaran kepada orang ramai untuk kembali bekerja, selain melancong dalam negara.

Views:

489
Kongsi :
Previous post Hubungan Melaka, Singapura makin kukuh
Next post Pertukaran nama Bukit St Paul bukan keputusan mudah
Ubah saiz-+=