Pertukaran nama Bukit St Paul bukan keputusan mudah

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

AYER KEROH 17 Julai – Cadangan menukar nama Bukit St Paul di Bandar Hilir bukan satu keputusan yang mudah memandangkan ia perlu diperhalusi secara mendalam, kata Ketua Menteri Datuk Haji Sulaiman Md Ali.

Menurutnya, pihak kerajaan negeri sama sekali tidak menolak sebarang cadangan atau hasrat yang diberikan mana-mana pihak, namun untuk melakukan suatu perubahan yang drastik ia memerlukan satu rundingan dan perbincangan di meja mesyuarat.

“Kita tahu bahawa sesuatu nama atau tempat yang ada di negeri ini telah diwartakan lebih awal. Maka, bila satu perubahan itu hendak dibuat, kita tidak boleh membuat keputusan begitu sahaja.

“Yang pertama ia mestilah dibawa ke meja mesyuarat, diperhalusi sebaik yang mungkin dan akhirnya minta kelulusan daripada pihak yang berkenaan, termasuklah membabitkan isu menukar nama Bukit St Paul kepada Bukit Melaka ini.

“Saya percaya nama itu (Bukit St Paul) ada nilai sejarahnya, apabila hendak ditukar nama, kita perlu lihat apakah keberkesanan, keberuntungan dan adakah ia akan memberi kesan atau impak kepada struktur pelancongan itu sendiri nanti. Tambahan pula, Melaka merupakan antara Bandar Warisan Dunia Unesco,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, di sini, pagi tadi.

Terdahulu, Melaka Hari Ini (MHI) melaporkan Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) bercadang untuk menukar nama Bukit St Paul kepada nama asalnya iaitu Bukit Melaka.

Pengurus Besar PERZIM, Mohd Nasruddin Rahman berkata, usul tersebut dicadang bagi mengembalikan nilai sejarah bukit berkenaan yang pada awalnya milik kerajaan Kesultanan Melayu Melaka, sebelum ditukar nama ketika era penjajahan Melaka.

Bagaimanapun, cadangan itu mendapat tentangan pelbagai pihak, termasuklah daripada MCA Melaka sendiri yang mahukan nama Bukit St Paul dikekalkan.

Malah, tinjauan MHI di laman sosial mendapat, terdapat satu petisyen diwujudkan bagi menghalang pertukaran nama Bukit St Paul kepada Bukit Melaka.

Sehingga hari ini, petisyen tersebut telah ditandatangani seramai 13,284 orang.

Views:

349
Kongsi :
Previous post ‘Perabis duit lebih demi SOP’
Next post Malaysia berpotensi jadi pasaran eksport Vietnam pasca Covid-19
Ubah saiz-+=