Malaysia berpotensi jadi pasaran eksport Vietnam pasca Covid-19

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

BANDARAYA HO CHI MINH 17 Julai – Malaysia berupaya muncul antara pasaran eksport terbesar di ASEAN untuk Vietnam, terutama ketika pasca-COVID-19, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Timbalan Pengarah Pusat Promosi Pelaburan dan Perdagangan Bandaraya Ho Chi Minh (ITPC), Nguyen Tuan berkata kerjasama ekonomi dan perdagangan antara negara-negara berkembang dalam beberapa tahun ini.

Vietnam dan Malaysia adalah anggota Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), katanya dalam satu seminar pada Khamis.

Ujarnya, pada 2016, Malaysia mengatasi Singapura untuk menjadi rakan dagang kedua terbesar Vietnam di ASEAN selepas Thailand.

Ia menjadi pasaran eksport ketiga terbesar untuk Vietnam di rantau ini selepas Thailand dan Kemboja, tambahnya.

Perdagangan dua hala tahun lalu bernilai US$11.1 bilion, dengan eksport Vietnam adalah US$3.8 bilion, atau 15 peratus daripada jumlah eksport negara itu ke negara anggota ASEAN.

Pandemik COVID-19  mempengaruhi hampir semua aspek sosioekonomi seperti kesihatan, pengangkutan, pelancongan, pendidikan dan perdagangan, katanya.

Berikutan pandemik tersebut, pada separuh pertama tahun ini eksport Vietnam ke Malaysia merosot 17.4 peratus dari tahun ke tahun kepada US$1.6 bilion.

“Pusat ini telah mengambil langkah-langkah segera bagi menyokong perniagaan untuk meningkatkan eksport dengan mengembangkan rantaian penawaran baharu dan memperluas serta mempelbagaikan pasaran eksport,” katanya.

Pesuruhjaya Perdagangan Malaysia di Bandaraya Ho Chi Minh, Raphy Md Radzi berkata Vietnam dan Malaysia adalah rakan dagang penting dan harus meningkatkan promosi untuk mencapai sasaran perdagangan.

Pengeksport Vietnam juga boleh membuat penyelarasan dengan syarikat perkhidmatan Malaysia untuk pengedaran barangan mereka di peringkat global, tambahnya.

Ketua Bahagian Perniagaan Malaysia Theng Bee Han, juga berkata, “Perniagaan Vietnam seharusnya tidak hanya menganggap Malaysia sebagai pasaran eksport yang berpotensi tetapi turut bekerjasama dengan syarikat-syarikat Malaysia untuk memasuki pasaran dunia.”

Malaysia memiliki populasi penduduk Islam yang ramai, dengan itu eksport ke negara tersebut mesti memenuhi piawaian halal untuk produk seperti makanan, ubat-ubatan dan kosmetik, selain perlu mematuhi peraturan keselamatan makanan, pelabelan dan pengesanan, katanya.

Dijangkakan pada 2030 industri halal global bernilai US$30.6 trilion termasuk US$1.1 trilion di rantau Asia Pasifik, dengan Malaysia berjumlah US$228.5 bilion, katanya.

Hasil pertanian dan produk makanan laut Vietnam memenuhi piawaian makanan Malaysia, dan apabila mereka memperoleh sijil halal, ia dapat dieksport ke negara itu, katanya.

– BERNAMA

Views:

455
Kongsi :
Previous post Pertukaran nama Bukit St Paul bukan keputusan mudah
Next post Editor buku hina Jata Negara larikan diri ke luar negara
Ubah saiz-+=