Perabot baharu Seri Bendahara: Pengarah JKR Melaka, Exco bidas kenyataan Adly

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

AYER KEROH 22 Jun – Dakwaan Ketua Pembangkang, Adly Zahari yang mendakwa kerajaan pimpinannya menolak menukar perabot baharu di Seri Bendahara, dinafikan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Datuk Ismail Abd Rahman.

Jelas Ismail, beliau menafikan perkara itu, apabila kerja penyelenggaraan dan baik pulih kerosakan di bangunan berkenaan yang dianggarkan berjumlah RM400,000 telah diluluskan pada Februari lalu.

Turut menafikan, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Infrastruktur negeri, Datuk Roslan Ahmad.

Memetik laporan Berita Harian pada 19 Jun lalu, Roslan dilaporkan berkata, setiap proses penyelenggaraan aset kerajaan, termasuk Seri Bendahara dikendalikan sepenuhnya JKR selepas mendapat kelulusan jabatan itu di peringkat Persekutuan dan tidak timbuk soal pembaziran wang dalam hal berkenaan.

“Sebut harga penyelenggaraan Seri Bendahara dikeluarkan oleh JKR pada 12 Februari lalu, maknanya ia diluluskan sebelum kerajaan PN mengambil alih pentadbiran negeri.

“Sebenarnya, tiada kena mengena pun dengan kerajaan baharu atau lama, tetapi ia adalah tanggungjawab JKR untuk menyelenggara bangunan kerajaan bagi mengelakkan kerosakan sedia ada bertambah teruk.

“Ini bukan ubah suai bangunan, tetapi penyelenggaraan yang diambil tanggungjawab oleh JKR sebagai agensi pelaksana secara rutin mengikut tempoh tertentu memandangkan bangunan itu sudah menjangkau usia lebih 15 tahun,” katanya.

Beliau dalam masa sama, turut meminta blok pembangkang agar tidak mempolitikkan isu berkenaan demi meraih sokongan.

“Kerja penyelenggaraan itu termasuklah membaiki beberapa bahagian rumah yang rosak, mekanikal, pengindahan serta pendawaian. Sudah sampai masanya bangunan ini diselenggara serta dipulihkan (dibaiki kerosakan) bagi mengelakkan ia bertambah teruk,” katanya.

Adly menerusi kiriman di Facebooknya pada 17 Jun lalu berkata, kerajaannya pada ketika itu menolak melaksanakan penyelenggaraan di kediaman berkenaan kerana mementingkan penjimatan dan mengutamakan kebajikan rakyat.

Sejak beberapa hari lalu, tular di media sosial mengenai kerja-kerja menyelenggaraan kediaman rasmi Ketua Menteri Melaka itu, termasuk menggantikan sofa serta permaidani baharu.

Beberapa keping gambar perabot baharu turut dimuat naik di Facebook oleh sebuah syarikat dipercayai pembekal perabot berkenaan.

Ketika PH mengambil alih pentadbiran negeri pada 2018, Adly mengambil keputusan tidak mendiami Seri Bendahara kerana mendakwa kos bayaran utiliti serta penyelenggaraan terlalu tinggi, sebaliknya menjadikan rumah kerajaan di Bukit Peringgit sebagai kediaman rasminya.

Sehubungan itu, kerajaan negeri ketika itu membuka Seri Bendahara untuk tatapan orang ramai untuk melihat sendiri aset kerajaan yang dibina pada 2004.

Adly juga pernah mencadangkan supaya Seri Bendahara dijadikan sebagai satu produk pelancongan bagi menambah sumber kewangan negeri.

Views:

383
Kongsi :
Previous post Letusan Gunung Merapi dijangka tidak jejas kualiti udara Malaysia
Next post MU bebas Covid-19
Ubah saiz-+=