Peraga kebaya labuh Johor, Miss Grand Kebaya Remaja milik Nadjwa,
AYER KEROH 14 Oktober – Kebaya labuh ‘Johor’ yang diperagakan peserta dari Skudai berjaya menambat hati juri, sekali gus dinobatkan Ratu Kebaya ‘Miss Grand Kebaya Remaja’ di Pentas Utama Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) negeri, di sini, hari ini.
Menerusi Pertandingan Ratu Kebaya Remaja ‘Miss Grand Kebaya Remaja’ Nur Haryani Nadjwa Halini, 20, meraih gelaran juara selepas menewaskan 14 lagi peserta pada pusingan akhir pertandingan tersebut.
Lebih mesra dipanggil Nadjwa, dia memaklumkan berasa bangga apabila busana kebaya kain songket labuh dengan kain terbelah dihadapan berjaya menamat hati juri.
“Hari ini saya hadir bersama pasukan lengkap dengan penata rias dan solekan daripada sebuah butik pengantin di Skudai. Mereka menaja pakaian dan solekan untuk pertandingan ini.
“Kurang seminggu sebelum pertandingan, memang saya kerap berlatih daripada gaya berjalan, pengenalan diri dan yang paling penting saya perlu mengenali pakaian apa yang saya peragakan.
“Saya sendiri memilih busana yang akan diperagakan dan memilih kebaya labuh tradisional Johor untuk dipersembahkan dan seterusnya menjadi juara,”katanya kepada Melaka Hari Ini.
Jelas yang juga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat, kemenangannya itu menjadi pembakar semangat buatnya untuk bergerak lebih maju dalam bidang peragaan pada masa akan datang.
Pada pertandingan itu juga Nadjwa turut merangkul kategori ‘Miss Catwalk’ terbaik dan kemenangan keseluruhan membawa pulang wang tunai RM1,000, tiara, selimpang kemenangan, jambangan bunga, hamper, trofi dan sijil penyertaan.
Sementara itu tempat kedua dimenangi oleh peserta dari Johor Bahru, Nur Syazana Afiqah Bohairah dengan busana kebaya tradisional songket bunga tabur.
Manakala tempat ketiga menjadi milik peserta juga dari Johor Bahru, Aisyah Alia Jafri dengan peragaan busana kebaya lama motif bunga dan kain songket.
Bagi tempat kedua dan ketiga, masing-masing membawa pulang wang tunai berjumlah RM700 dan RM500 beserta tiara, selimpang kemenangan, jambangan bunga, hamper, trofi serta sijil penyertaan.
Secara keseluruhan seramai 21 peserta menyertai pertandingan tersebut dan hanya 15 peserta layak ke pusingan akhir.
Menerusi pertandingan tersebut, turut dipertandingkan 10 kategori daripada pihak juri untuk menilai kesemua aspek pembawakan peserta dalam pertandingan terbabit.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.