Peraturan pemarkahan pencak silat akan dikaji semula – Pesaka

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

AYER KEROH 1 Ogos – Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) akan melakukan ‘post mortem’, selain mengkaji dan mengemaskini aspek peraturan dalam pemarkahan membabitkan kejuaraan pencak silat dunia.

Presiden Pesaka Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (Persilat) bagi memastikan acara selepas ini terutama pada Kejuaraan Pencak Silat Dunia pada tahun depan berjalan lancar.

“Dalam pertemuan dengan Presiden Persilat, Datuk Seri Prabowo Subianto pun kita dah bincang untuk duduk semula yang mana kita akan kaji dan perhalusi (peraturan) seberapa segera sebelum Sukan Sea di Kemboja bermula.

“Kerana pada hujung tahun ini kita ada sukan Silat Asia Pantai di Cebu, Filipina, selepas itu kita akan tengok balik mungkin ada peraturan-peraturan terkini yang kita kena kemaskini balik, seberapa segera.

“Kita duduk dan kaji balik dan kalau ada perubahan kita akan buat sebelum tahun hadapan termasuk diguna pakai dalam Kejuaraan Pencak Silat Dunia ke 20 di Indonesia nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Kejuaraan Pencak Silat Dunia ke-19 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), malam tadi.

Mengulas mengenai bantahan rasmi yang dikemukakan untuk memohon perlawanan semula antara pesilat negara Mohammad Khairi Adib Azhar dan atlet Singapura Aniq ‘Asri Mohammad Yazid, Megat Zulkarnain berkata bantahan kepada Delegasi Teknikal Antarabangsa kejuaraan itu tidak akan diteruskan.

Katanya, keputusan itu dilakukan kerana tidak mahu mengganggu perjalanan majlis penutup yang diadakan semalam.

“Saya percaya kita buat bantahan tetapi bantahan itu kerana kita tak nak mengganggu aturcara yang telah kita susun kalau kita teruskan bantahan itu sehingga naik ke proses yang lebih tinggi maka segalanya akan terbantut.

“Kerana kalau perlu ada ‘rematch’ pun kita hanya boleh buat pada malam ini dan saya fikir sebagai penganjur yang bertanggungjawab selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Penganjur, saya ambil keputusan untuk tidak meneruskannya.

“Kerana kita telah menerima kehadiran Perdana Menteri dan sebagainya, jadi macam-macam kena ubah balik, ini tidak baik, penonton beribu dah datang, jadi kita perbaiki mana yang perlu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1811
Kongsi :
Previous post Tiga sekawan maut dirempuh kereta
Next post Dana RM1 juta digunakan sebaiknya – Pesaka
Ubah saiz-+=