Perbadanan Bioteknologi Melaka agih 9 juta pelitup muka dan ‘sanitizer’

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 12 Mac. – Kerajaan negeri menerusi Perbadanan Bioteknologi Melaka (PBM) memperuntukkan RM5 juta bagi membekalkan pelitup muka dan cecair pembasmi kuman atau ‘sanitizer’ kepada 197,000 murid dan pelajar berusia lima tahun hingga 17 tahun di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tee Mei Ghee berkata, inisiatif kerajaan negeri itu adalah bagi membantu murid dan pelajar sekolah di negeri ini mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Katanya, semua pelitup muka dan cecair pembasmi kuman ini diedarkan menerusi jabatan kerajaan terbabit iaitu Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional (JPNIN) negeri.

“Kedua-dua alat pelindung diri ini akan diagihkan secara berperingkat mulai 8 Mac lalu sehingga hujung April depan kepada semua peringkat pelajar dari murid Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika) dan sekolah rendah serta pelajar sekolah menengah.

“Jumlah keseluruhan pelitup muka yang diedarkan sebanyak 9 juta keping manakala jumlah cecair pembasmi kuman adalah sebanyak 395,000 botol yang akan diedarkan secara berperingkat.

“Setiap murid atau pelajar akan menerima satu kotak yang mengandungi 50 keping pelitup muka dan dua botol cecair pembasmi kuman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas gimik pelancaran pemberian pelitup muka dan cecair pembasmi kuman kepada jabatan terlibat yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Turut hadir,Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Hasim Hassan, Pengerusi Jawatankuasa di Jabatan Ketua Menteri Melaka (Pendidikan), Pengajian Tinggi, Teknikal dan Vokasional, Sains dan Inovasi, Datuk Noor Effandi Ahmad dan Pengarah Pendidikan Melaka, Dr Mohd Azam Ahmad.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pemberian pelitup muka dan cecair pembasmi kuman dengan bercirikan bioteknologi itu juga bertujuan menyahut antara lapan ‘flagship’ yang dibentangkan Ketua Menteri dalam Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

400
Kongsi :
Previous post MPHTJ sedia bantu peniaga daftar suntikan vaksin COVID-19
Next post Amaran ribut petir, hujan lebat susulan peralihan monsun bermula 16 Mac
Ubah saiz-+=