Perdana Menteri setuju rasmi Hawana 2022

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

KUALA LUMPUR, 21 April – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan merasmikan sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022 yang dijadual diadakan di Melaka pada 29 Mei depan.

Menurut kenyataan Ikatan Setia Kawan Wartawan Malaysia dan Indonesia (ISWAMI), perdana menteri telah mengadakan pertemuan bersama wakil-wakil media bagi membincangkan pelaksanaan HAWANA 2022 di Putrajaya, hari ini.

Wakil media diketuai Presiden ISWAMI Datuk Mokhtar Hussain, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Roslan Ariffin, Penasihat ISWAMI Datuk Zakaria Abdul Wahab, Ketua Pengarang UtusanTV Datuk Zulkefli Hamzah dan Ketua Pengarang Astro Awani Ashwad Ismail.

“Perdana menteri bersetuju untuk merasmikan perhimpunan terbesar wartawan Malaysia menerusi sambutan HAWANA, selepas pertama kali ia diadakan pada 2018.

“Sambutan HAWANA adalah bagi menghargai golongan wartawan di Malaysia, yang disambut pada setiap 29 Mei bersempena penerbitan pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939,” menurut kenyataan itu.

ISWAMI dan Bernama, akan menjadi penggerak utama pelaksanaan HAWANA 2022 yang turut melibatkan agensi, pertubuhan dan pengamal media yang lain.

Selain itu, ISWAMI Malaysia akan mengundang 17 pemimpin utama media dari Indonesia termasuk ISWAMI Indonesia, untuk hadir ke sambutan HAWANA 2022.

Seramai 20 editor muda daripada pelbagai agensi media di Indonesia juga akan diundang untuk program lawatan muhibbah pada Jun ini, bagi mengukuhkan lagi kerjasama strategik media seterusnya hubungan dua hala kedua-dua negara.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

865
Kongsi :
Previous post Polis P.Pinang minta bantuan Unit Udara PDRM kesan tahanan Rohingya
Next post Najib ‘arah’ saya tandatangani laporan audit 1MDB tahun 2013 – Saksi
Ubah saiz-+=