Perhalusi SOP Umrah elak penipuan sijil vaksin – Ahmad Marzuk

KOTA BHARU, 29 Jan – Kerajaan akan memperhalusi prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan jemaah umrah yang akan berlepas menunaikan ibadah tersebut sudah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin COVID-19.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata ia bagi memastikan insiden jemaah yang tidak menerima vaksin atau penipuan sijil vaksin COVID-19 sepertimana yang berlaku baru-baru ini, tidak berulang.

“Saya difahamkan, pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah memanggil pengusaha umrah untuk berbincang bagi memastikan insiden sama tidak berulang.

“Sebelum ini kerajaan terpaksa menangguhkan perjalanan umrah selama sebulan bagi menyelesaikan perkara berbangkit berkaitan peningkatan mendadak varian Omicron dalam kalangan jemaah umrah yang kembali dari Arab Saudi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan limau mandarin sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Kampung Pulau Belanga, Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Ahmad Marzuk yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa berkata setiap individu yang ingin mengerjakan umrah sepatutnya bersikap jujur kerana ibadah umrah bukanlah untuk melancong semata-mata.

“Mengerjakan umrah bukanlah sekadar untuk mendapat gelaran semata-mata tetapi keredaan Allah SWT dan tidak mahu terpalit dengan unsur penipuan,” katanya.

Rabu lepas, Kabinet memutuskan untuk membenarkan semula umat Islam mengerjakan ibadah umrah mulai 8 Feb ini. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

381
Previous post Lelaki maut jatuh ruang lif pusat beli belah
Next post Dos penggalak diberi berdasarkan perkembangan semasa varian COVID-19 – KKM