PERHILITAN kenal pasti 142 lokasi ‘panas’ monyet liar

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

AYER KEROH 14 Jan. – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Negeri Melaka mengesan 142 lokasi lambakan monyet liar yang dikhuatiri boleh mendatangkan bahaya kepada orang ramai.

Pengarahnya Mohd Firrdhaus Mahmood berkata, daripada jumlah itu, 51 kawasan dikenal pasti di Daerah Melaka Tengah dan Alor Gajah, manakala 40 lagi di Daerah Jasin.

Jelasnya, di Melaka Tengah, antara lokasi yang kerap menerima aduan ancaman monyet liar ialah Ayer Molek, Kg Paya Dalam, Telok Mas, Bertam Malim dan Tanjung Kling.

“Di Alor Gajah, membabitkan Kampung Solok Limau Nipis, Kampung Air Pa’abas, Kampung Tanjung Rimau Dalam, Taboh Naning dan Kampung Sungai Buloh.

“Kawasan di Umbai, Sungai Rambai, Merlimau, Kampung Chohong dan Semujuk pula antara tempat yang sering terdapat gangguan monyet liar di Daerah Jasin,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mohd Firrdhaus berkata, sepanjang tahun lalu, pihaknya sudah berjaya menangkap 2,249 monyet liar dengan tangkapan tertinggi direkodkan di Daerah Alor Gajah iaitu 968 ekor disusuli Melaka Tengah (651) dan Jasin (630).

Ujarnya, tahun ini pihaknya akan terus mempergiat usaha menangani ancaman monyet liar di kawasan kampung dan perumahan bagi mengelakkan berlakunya kes kerosakan atau kecederaan membabitkan orang ramai.

“Antara tindakan yang akan dibuat seperti menjalankan operasi bersepadu serta pemasangan perangkap bagi mengurangkan populasinya,” katanya lagi.

Terdahulu, Melaka Hari Ini melaporkan seorang warga emas berisiko lumpuh selepas patah kaki kiri dan tulang pinggul ketika cuba menyelamatkan diri daripada dikejar seekor kera liar di halaman rumahnya di Kampung Morten, baru-baru ini.

Dalam kejadian kira-kira 8.30 pagi itu, mangsa berusia 73 tahun yang sedang membersihkan halaman rumah secara tiba-tiba disergah seekor kera hingga menyebabkan dia terkejut dan terjatuh.

Selain itu, pada 11 Januari lalu, seorang bayi lelaki berusia dua bulan parah selepas digigit dan diseret kera di rumahnya di Kampung Manggis, Sungai Puyu, Butterworth.

Difahamkan kejadian berlaku ketika ibu bayi berkenaan ke dapur untuk membuat susu sebelum mendengar tangisan kuat anaknya yang diletakkan di atas tilam di ruang tamu rumah.

Wanita itu kemudian berlari mendapatkan anaknya, namun terkejut melihat bayinya berada di atas lantai simen dengan berlumuran darah serta ternampak seekor kera jantan di hadapan pintu rumah.

Views:

1486
Kongsi :
Previous post Istiadat Penganugerahan Bintang dan Pingat Kebesaran MGBM kali ke-41 ditunda.
Next post Agong, Permaisuri cemar duli ziarah mangsa banjir di Pekan
Ubah saiz-+=