Perhimpunan pembangkang tidak akan ubah keputusan tangguh Parlimen

Masa Membaca:2 Minit, 8 Saat

KUALA LUMPUR 2 Ogos – Tindakan beberapa Ahli Parlimen pembangkang berarak ke bangunan Parlimen meskipun mengetahui Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 hari ini telah ditangguhkan adalah perbuatan yang disengajakan walaupun mereka sedar ia tidak akan mengubah keputusan itu.

Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Professor Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata, tindakan mereka itu adalah untuk menarik perhatian ramai termasuk masyarakat antarabangsa.

“Himpunan ini secara jelas melanggari prosedur operasi standard (SOP) dan penjarakan fizikal.

“Gelagat Ahli Parlimen ini dikhuatiri boleh mempengaruhi mana-mana kumpulan yang selepas ini mahu mengadakan himpunan dan melanggari SOP.

“Ia tidak wajar buat masa sekarang ketika kes COVID-19 masih tinggi. Matlamat tidak menghalalkan cara dengan melanggar SOP… seperti yang saya katakan dahulu, adakah ahli politik ini kalis COVID-19?” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Hari ini, sekumpulan Ahli Parlimen pembangkang cuba memasuki pekarangan bangunan Parlimen bagi mendesak sidang khas disambung walaupun ia telah ditangguhkan atas nasihat Kementerian Kesihatan berikutan penularan COVID-19.

Bagi Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Raub, Pahang Dr Che Hamdan Che Mohd Razali, tindakan Ahli Parlimen terbabit adalah berniat untuk memberi tekanan terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Masing-Masing dalam bertindak sudah memikirkan baik buruk. Namun kita dapat lihat bagaimana kegelojohan pemain politik ini memberikan imej dan contoh yang buruk bukan sahaja kepada rakyat tetapi juga kepada masyarakat antarabangsa.

“Bagi pemain politik, mereka melihat impak dari segi jumlah Ahli Parlimen yang berkumpul pagi ini untuk melihat setakat mana sokongan terhadap blok pembangkang,” katanya.

Penganalisis politik dan media sosial dari UiTM Shah Alam, Selangor Profesor Madya Dr Sara Chinnasamy pula menegaskan tindakan pemimpin pembangkang berkumpul beramai-ramai sebagai protes susulan penangguhan sidang Parlimen adalah tindakan yang membahayakan ramai pihak.

“Daripada membahayakan banyak pihak dan menyebabkan pengikut mereka yang menyertai protes itu berdepan risiko, pembangkang seharusnya bertindak mengetepikan kepentingan politik serta berusaha untuk kesejahteraan negara dan rakyat terutama ketika ini yang menyaksikan kes COVID-19 terus meningkat,” katanya.

Pakar Epidemiologi UPM Profesor Madya Dr Malina Osman.

Pakar Epidemiologi UPM Profesor Madya Dr Malina Osman juga berpendapat sebarang perhimpunan tidak harus dilakukan ketika ini bagi mengelak tercetusnya kluster baharu COVID-19.

“Sekarang ini, mana-mana pihak yang ingin menyumbang kepada kebaikan negara perlu berganding bahu mencari strategi penyelesaian COVID-19 dan bukan sekadar hendak mencari kesalahan.

“Masing-Masing kena fikir yang terbaik dan kerajaan pada masa sama juga perlu bersikap terbuka supaya perbincangan ke arah ini membuahkan hasil,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

770
Kongsi :
Previous post COVID: Kematian tertinggi dicatatkan hari ini dengan 219 kes
Next post Polis akan panggil Ahli Parlimen, peserta terbabit perarakan ke Parlimen
Ubah saiz-+=