Perjawatan anggota bomba tidak seimbang, perlu kaji semula – Kor Ming

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

BANDA HILIR 14 Mei – Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengkaji secara komprehensif penyusunan semula organisasi termasuk perjawatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Menterinya, Nga Kor Ming berkata penyusunan semula itu melibatkan pengisian perjawatan sedia ada yang masih kosong serta menambah jumlah keanggotaan bomba.

Katanya, elemen kebajikan termasuk kajian semula skim gaji dan elaun yang berkaitan turut diberi perhatian.

“Saya yakin JBPM dan Bahagian Sumber Manusia KPKT sedang meneliti kertas cadangan ini sebelum kita angkat kepada pihak JPA untuk pertimbangan dan kelulusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2023 di Dataran Pahlawan.

Sambutan itu dirasmikan Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam dan dihadiri Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin yang mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Datuk Abdul Wahab Mat Yassin dan Pengarah JBPM Melaka, Penolong Pesuruhjaya Bomba Abu Bakar Katain.

Mengulas lanjut, Kor Ming berkata perkara itu diberi perhatian berikutan jumlah keanggotaan terkini anggota bomba melebihi 15,000 berbanding 33.57 juta populasi rakyat Malaysia.

“Ia menjadikan nisbah keanggotaan adalah seorang (anggota bomba) bagi 2,238 orang rakyat Malaysia.

“Ditambah dengan jumlah panggilan kecemasan yang perlu dihadiri melebihi 100,000 setiap tahun saya melihat jumlah keanggotaan ini sama sekali tidak seimbang,”katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1355
Kongsi :
Previous post Sambutan Hari Bomba 2023: Insiden timpa Allahyarham Mohd Diya usik emosi penonton
Next post TMM2024: Tiga binaan arca tambah seri Pantai Puteri
Ubah saiz-+=