TMM2024: Tiga binaan arca tambah seri Pantai Puteri

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

PANTAI KUNDOR 14 Mei – Tiga binaan arca bakal menjadi penyeri Pantai Puteri, di sini, menjelang Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), tahun hadapan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor Tuminah Kadi @ Mohd Hashim berkata, arca yang bakal dibina itu bakal menjadi mercu tanda ikonik pantai berkenaan yang terkenal antara destinasi pelancongan negeri ini.

Menurutnya, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) kini sedang merangka rekaan yang bersesuaian bagi menggambarkan simbolik Pantai Puteri dalam menarik kehadiran pelancong.

“Antara cadangan ialah arca udang geragau yang menjadi antara hasil hasil laut utama pantai ini.

“Selain itu, kita juga mencadangkan arca joran memandangkan Pantai Puteri menjadi destinasi pertandingan memancing pesisir pantai yang terkenal di negara ini.

“Jadi arca yang akan dipilih nanti merupakan simbol yang dekat dengan pantai peranginan ini bagi membolehkan orang ramai bergambar, selain menjadi daya penarik kehadiran pelancong,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor, di Padang Petanque MBMB, di sini, malam tadi.

Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam dan turut dihadiri Speaker DUN Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin serta barisan kepimpinan Kerajaan Negeri yang lain.

IMG_20230514_020846
TUMINAH (kiri) mengiringi Tun Mohd Ali menyantuni gerai makanan pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Pantai Kundor.

Mengulas lanjut, Tuminah yang juga Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna berkata, tiga binaan arca itu akan dibina di tiga kawasan yang bakal ditentukan kelak.

“Antara cadangan kita ialah di kedua-dua pintu masuk ke Pantai Puteri iaitu dari arah Sungai Udang dan arah Klebang, selain satu binaan lagi di tengah-tengah Pantai Puteri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1334
Kongsi :
Previous post Perjawatan anggota bomba tidak seimbang, perlu kaji semula – Kor Ming
Next post Roboh pekan lama, lebarkan jalan atasi kesesakan
Ubah saiz-+=