Roboh pekan lama, lebarkan jalan atasi kesesakan

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

DURIAN TUNGGAL 14 Mei – Isu kesesakan di Simpang Pekan Pantai Belimbing merupakan antara tiga fokus utama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Zahari Abd Kalil.

Beliau berkata, masalah trafik di kawasan itu akan diselesaikan dengan beberapa cadangan baharu yang akan dibentangkan kepada Kerajaan Negeri.

Beliau yang juga Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merencana untuk melaksanakan projek pembesaran jalan di persimpangan itu bagi mengatasi kesesakan lalu lintas terutama pada waktu puncak.

“Di kawasan itu ada pekan yang terdapat bangunan kedai lama dan apabila ada yang parkir kenderaan di bahu jalan untuk membeli barangan ia membuatkan berlakunya kesesakan.

“Jalan yang menjadi laluan penghubung dari Alor Gajah dan Durian Tunggal ini dilalui lebih 500 kenderaan sehari dan ia menyebabkan berlakunya kesesakan terutama pada waktu pagi dan lewat petang.

“Kita mencadangkan untuk meroboh pekan lama ini dan dialihkan dengan pembinaan lot kedai baharu agar kerja kerja pembesaran jalan dapat dilaksanakan pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini pada sidang media selepas Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal di Kampung Belimbing Dalam, di sini, malam tadi.

Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Speaker DUN, Datuk Wira Ibrahim Durum serta barisan kepimpinan Kerajaan Negeri yang lain.

Zahari berkata, selain Pantai Belimbing, pihaknya turut cakna dengan isu sama berlaku di Taman Scientex Durian Tunggal yang memerlukan pembesaran jalan.

“Dalam minggu hadapan saya akan membawa rakan Exco saya, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri untuk meninjau kawasan yang menjadi tumpuan.

“Ia bagi memastikan isu kesesakan tidak membelenggu kawasan yang sedang pesat membangun ini pada masa akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan sebuah jalan baharu di Taman Murai Jaya telah hampir siap dan bakal membantu aspek penyuraian trafik di kawasan itu.

Ujarnya, projek pembinaan jalan yang kini berada di fasa akhir itu dijadualkan bakal boleh digunakan pengguna jalan raya pada hujung tahun ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5981
Kongsi :
Previous post TMM2024: Tiga binaan arca tambah seri Pantai Puteri
Next post Rindu 42 tahun terlerai
Ubah saiz-+=